Kecelaruan Personaliti Obsesif-Kompulsif (OCPD)

man-formalwear-standing-wardrobe_171337-19155

Overview :

Obsessive-compulsive personality disorder is characterized by emotional constriction, orderliness, perseverance, stubbornness, and indecisiveness. The essential feature of the disorder is a pervasive pattern of perfectionism and inflexiblility. OCPD is different from OCD where as the latter is a ego-dystonic form of disorder.

Obsessive-Compulsive Personality Disorder atau Kecelaruan Personaliti Obsesif-Kompulsif ialah salah satu diagnosis dalam kumpulan Kecelaruan Personaliti khususnya Kluster C.

CIRI-CIRI OCPD

Seseorang yang mempunyai OCPD disifatkan sebagai orang yang terlampau asyik atau obses dengan peraturan, kekemasan, penyusunan, ketertiban, perincian dan kesempurnaan. Keasyikan dengan peraturan dan penyusunan ini sangat diutamakan sehinggakan tujuan utama sesuatu aktiviti itu tidak dapat dicapai.

Sebagai contoh, individu OCPD ketika bercuti bersama keluarga akan memastikan perjalanan percutian tersebut tersusun. Mereka akan bertegas untuk mengikut jadual yang telah ditetapkan dengan tekun tanpa mengubah apa-apa.

Malangnya, percutian tersebut tidak dapat dinikmati dengan sebaiknya dan sebaliknya menimbulkan ketegangan disebabkan rasa tidak puas hati ahli keluarga terhadap individu OCPD yang seolah-olah terlalu mengawal dan menghilangkan suasana percutian yang sepatutnya santai dan menyeronokkan.

Di samping itu, individu tersebut menampakkan sifat degil dan tidak fleksibel. Mereka tidak gemar kepada perubahan dan lebih selesa untuk mengikuti rutin sedia ada. Oleh itu, mereka selalunya kurang pandai menyesuaikan diri dengan situasi baru.

Sikap tidak fleksibel ini turut diterjemahkan dalam perkara yang melibatkan etika, moral dan nilai dalam kehidupan. Mereka sangat berhati-hati dan cermat dalam memastikan gerak-geri mereka tidak lari daripada nilai-nilai yang telah digariskan.

Pada satu tahap, mereka mungkin memaksa agar orang lain turut menerima dan mengamalkan standard moral mereka yang sangat tinggi itu. Hal ini kerana mereka cenderung untuk menghakimi atau menilai orang lain menggunakan standard diri mereka yang menyebabkan mereka terlihat sebagai ‘judgemental’.

Ketidakmampuan orang lain untuk mencapai standard tersebut akan dilihat sebagai satu kecacatan atau kelemahan yang perlu diubah.

Encik A yang berumur 48 tahun ialah seseorang yang disahkan mempunyai OCPD. Beliau mempunyai rutin hidup yang sama sejak berumur 20-an. Perubahan walaupun sedikit akan menganggu mood dan prestasi beliau sepanjang hari. Sejak wabak COVID-19 melanda, beliau kehilangan rentak dalam hidup dan merasakan hidupnya tidak terkawal lagi. Beliau mula be

Personaliti OCPD juga terlalu mementingkan kesempurnaan (perfectionist) sehingga menganggu pelaksanaan sesuatu perkara. Perkara yang mudah mungkin dirumitkan dan dianggap sebagai bebanan disebabkan sifat mereka yang sangat mementingkan perincian.

It worker tracking his tasks on kanban board. using task control of agile development methodology. man attaching sticky note to scrum task board in the office Premium Photo
Individu OCPD sangat mementingkan kekemasan, kerapian dan perincian dalam setiap perkara.

Contohnya, mereka mungkin lambat menghantar atau tidak dapat menyiapkan ‘assignment’ yang diberikan oleh pensyarah kerana merasakan kerja yang telah dilakukan masih belum sempurna mengikut standard tinggi yang ditetapkan oleh diri sendiri. Tambahan lagi, individu ini risau dan takut untuk membuat kesilapan.

Mereka sentiasa terbeban dengan ketidakpastian dan ragu-ragu sama ada keputusan yang diambil itu benar atau salah. Natijahnya, mereka sangat sukar untuk menetapkan sebarang keputusan.

Selain itu, orang yang menghidapi OCPD sangat berdedikasi dalam pekerjaan mereka.

Mereka sanggup mengorbankan masa dan tenaga mereka demi kerja sehingga mengabaikan keseronokan, hiburan dan persahabatan yang dianggap membuang masa dan satu bentuk gangguan.

Mereka yang mempunyai OCPD juga keberatan untuk membahagikan tugasan kepada orang lain dan berkeras agar orang lain mengikut sepenuhnya cara dia berkerja. Toleransi bukanlah satu pilihan yang mudah. Aspek komunikasi dan perhubungan merupakan satu perkara yang kurang dimahiri oleh individu dan hal ini umumnya menyebabkan mereka kekurangan kawan.

Mereka selalunya kelihatan sangat formal, serius dan tidak pandai berjenaka. Walaupun mereka kurang bertolak ansur dengan orang lain, mereka yang mempunyai OCPD selalunya bersungguh-sungguh untuk berbaik dan memuaskan hati orang yang mereka anggap lebih berkuasa daripada diri mereka. Misalnya, mereka sangat taat dan patuh kepada arahan pihak atasan.

Akhir sekali, mereka yang mempunyai OCPD ini selalunya ialah mereka sangat berjimat cermat dengan harta yang mereka ada sehingga tahap kedekut untuk membelanjakan wang untuk orang lain dan diri sendiri. Mereka menganggap duit sebagai benda yang berharga dan perlu disimpan untuk masa hadapan sebagai persediaan menghadapi sebarang malapetaka.

Mereka juga suka menghimpun barangan dan sukar membuangnya walaupun objek tersebut sudah rosak atau tidak berharga lagi. Apa yang membingungkan lagi ialah barangan tersebut tidak mempunyai sebarang nilai sentimental yang memungkinkan seseorang berasa enggan dan sukar untuk melepaskannya.

Mereka yang mempunyai OCPD ini suka menghimpun barang-barang walaupun barang tersebut tidak bernilai.

APA PUNCA OCPD?

Sama seperti kecelaruan personaliti yang lain, terdapat 2 unsur yang berkaitan dengan penyebab kondisi ini iaitu genetik dan persekitaran. Kebanyakan kes mempunyai ahli keluarga 1st degree yang turut menghidapi OCPD. Dari sudut persekitaran pula, disiplin yang keras kerap menjadi latar belakang pesakit OCPD dibesarkan.

OCPD NI SAMA KE DENGAN OCD?

Jawapannya tidak.

OCD atau nama panjangnya Obsessive Compulsive Disorder (OCD) ialah diagnosis kesihatan mental yang berlainan domain dengan Kecelaruan Personaliti. Terdapat banyak perbezaan antara 2 diagnosis ini. Salah satu perbezaan yang ketara ialah OCD merupakan satu kondisi yang bersifat ego-dystonic yang bermaksud perbuatan yang dilakukan oleh mereka yang mempunyai OCD tidak dapat dikawal, tidak disukai dan dianggap sebagai satu masalah.

OCPD pula bersifat ego-syntonic di mana seseorang itu tidak menganggap cara fikir dan tindakannya itu sebagai satu masalah. Secara umumnya dalam OCPD, mereka mungkin kelihatan tidak terkesan dengan kondisi yang dihadapi dan malah mungkin dikenali sebagai individu yang proaktif dan berjaya. Namun, ahli keluarga, rakan dan orang yang terdekat selalunya akan perasan dan terkesan dengan masalah personaliti tersebut serta dapat memberikan maklumat yang berguna bagi lebih memahami situasi pesakit dengan lebih lanjut

SEKIRANYA SAYA ADA OCPD, ADAKAH SAYA AKAN MENDAPAT OCD?

Tidak semestinya. Perjalanan personaliti OCPD setiap individu tidak sama. Ada sesetengah orang yang mempunyai OCPD kemudiannya mengalami simptom penyakit OCD dan ada yang tidak. Sebaliknya, sama seperti Kecelaruan Personaliti Kluster C yang lain, personaliti OCPD cenderung untuk didiagnosa dengan Kecelaruan Keresahan dan kemurungan terutamanya ketika dirundung masalah atau stress yang berat. 

RAWATAN

Sepertimana kecelaruan personaliti yang lain, rawatan utama bagi  OCPD ialah terapi psikologi. Terapi ini mungkin dilaksanakan secara personal ataupun di dalam kumpulan. Selain itu, ubat-ubatan mungkin diberikan sekiranya mereka turut menghidapi isu lain seperti kecelaruan keresahan, kemurungan ataupun OCD. Rawatan yang diberikan tidaklah bertujuan untuk mengubah personaliti atau diri individu tetapi untuk membantu menangani masalah yang muncul disebabkan kecelaruan personaliti dan seterusnya membimbing mereka untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

KONKLUSI

Memang betul perancangan merupakan satu komponen penting dalam resepi membina kejayaan. Namun, harus diingat bahawa tidak semua perkara yang berlaku dapat disusun, diramal mahupun dikawal. Perkara yang berada dalam kawalan merujuk kepada percakapan, perbuatan dan reaksi kita terhadap sesuatu perkara manakala perkara yang di luar kawalan pula merangkumi perbuatan dan percakapan orang lain, bencana alam, kematian dan sebagainya. Elakkanlah daripada terlalu memikirkan perkara yang di luar kawalan diri dan sebaliknya, tumpukanlah perhatian terhadap perkara yang dapat dikawal. Natijahnya, hati akan lebih tenang dan diri akan lebih yakin dalam menempuh liku-liku kehidupan.

Penulis ialah Dr Muhanna Mansor, siswazah perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Rujukan :

  1. Uptodate. (n.d.). Retrieved April 19, 2021, from https://www.uptodate.com/contents/overview-of-personality-disorders
  2. Sadock, B. (2010). Synopsis of Psychiatry (11th ed., pp. 756). Lippincott Williams & Wilkins.

Kongsikan artikel ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on whatsapp
WhatsApp

Leave a Reply