OCD; Penyakit atau Personaliti?

image1 (5)

Kecelaruan Obsesif Kompulsif atau Obsessive Compulsive Disorder (OCD) ialah satu kecelaruan mental yang agak popular dalam kalangan masyarakat umum. Lazimnya, mereka katakan ini merupakan satu kondisi yang dikaitkan dengan “rigidity” atau “perfectionist” atau dengan kata lain, seseorang yang tidak boleh menerima satu perubahan di mana apa yang berlaku itu bertentangan dengan norma dirinya atau dikatakan bahawa dia sudah terbiasa dengan ‘kesempurnaan’.

Contoh mudah yang selalu dikaitkan ialah seseorang yang selalu mengemas barangnya dalam susunan warna atau bentuk tertentu. Dia pasti tidak senang duduk melihat sesuatu yang bersepah ataupun mungkin sebenarnya tersusun cuma bukan dalam aturan yang sempurna. Individu tersebut akan bangun dan mencapai kesemua objek itu dan menyusun mengikut apa yang dirasakannya sesuai atau sepatutnya – susunan warna atau rupa bentuk.

1. OCD; Personaliti atau penyakit?

OCD merupakan satu kondisi yang mempunyai ciri-ciri obsesif atau/dan kompulsif yang menjejaskan kehidupan individu kerana perbuatan itu dilakukan tanpa rela hati walhal dia sedar kelakuannya tidak rasional. Kesemua keadaan ini boleh menyebabkan seseorang sentiasa dalam keadaan yang cemas dan tertekan.

Dalam dunia psikiatri, terdapat lagi satu kondisi dipanggil sebagai Obsessive Compulsive Personality Disorder (OCPD) atau personaliti Obsesif Kompulsif yang mempunyai cirinya yang tersendiri. Antaranya, terlalu mementingkan perincian sesuatu perkara (details) seperti urutan dan peraturan sehingga menyebabkan fokus perbincangan lari atau objektif tidak dapat dicapai, tidak mudah untuk bekerjasama dengan orang lain kerana risau hasilnya tidak seperti yang diharapkan, seseorang yang sangat berkira dengan duitnya, seseorang yang sangat mementingkan kerjayanya melebihi kawan-kawan dan beberapa ciri yang lain. 

Individu yang mempunyai personaliti ini tidak mengalami stres atau tekanan kerana dia beranggapan perkara itu adalah keperluan, penting dan dilaksanakan atas kerelaannya sendiri. Kondisi ini sebaliknya telah menyebabkan kesukaran, kesusahan dan memberi tekanan kepada orang lain.

Jadi, kedua-duanya adalah betul, kerana ia merupakan isu atau kondisi yang diiktiraf sebagai diagnosis penyakit dalam bidang psikiatri dan untuk mendiagnosis kondisi tersebut, individu tersebut haruslah menepati ciri-ciri yang disebutkan di dalam DSM-5. 

Terdapat juga keadaan di mana lebih kurang 30% individu yang diagnosisnya ‘overlapped’, dengan kata lain; individu tersebut mempunyai OCD dan OCPD. OCPD berkemungkinan menjadi punca seseorang itu mendapat OCD.

2. Apa itu OCD?

Perlu difahami, OCD dalam bidang psikiatri sebenarnya merupakan satu kondisi penyakit mental yang mana seseorang itu mempunyai obsesi terhadap sesuatu perkara. 

Syarat obsesi ini mestilah :

 I. Pemikiran atau gambaran atau kehendak yang berterusan dan sering berulang-ulang. 

 II. Obsesi ini tidak menyenangkan dan gangguan ini tidak boleh dikawal oleh empunya badan 

 III. Obsesi ini akhirnya menyebabkan individu tersebut berada dalam keadaan cemas atau tertekan 

 IV. Individu tersebut akan cuba sedaya upaya untuk mengendahkan gangguan pemikiran/gambar kehendak ataupun cuba untuk melawannya dengan melakukan tindakan atau pemikiran lain (kompulsif).

Kompulsif pula, 

 I. Satu bentuk pemikiran atau tingkahlaku yang berulang-ulang untuk melawan kembali obsesi tadi ataupun untuk menurut peraturan yang mesti dipatuhi. Perkara ini dirasakan dapat membantu individu tersebut menghilangkan rasa cemas dan stres.

 II. Perbuatan/pemikiran yang berulang-ulang ini sememangnya disedari melebih-lebih dan kadang-kadang tidak logik pada mata orang lain.

Obsesi atau kompulsif ini merupakan sesuatu yang merimaskan dan mengganggu aktiviti seharian kerana obsesi ini akan memakan masa berjam-jam dan tidak boleh dikawal walaupun individu tersebut mengaku bahawa perbuatannya ini tidak rasional sama sekali.

Contoh, 

   a. Gangguan pemikiran 

Azman mengadu bahawa dia sentiasa mempunyai keraguan apabila dia hendak meninggalkan rumahnya, dia sering merasakan ada kemungkinan rumahnya dipecah masuk (pemikiran yang mengganggu dan berulang-ulang), maka dia akan sering memeriksa kunci pintu rumahnya berulang kali (kompulsif tingkahlaku) lebih 15-20 kali sebelum dia benar-benar boleh keluar daripada rumahnya.

   b.          Gangguan gambaran

Sarah sering diganggu dengan satu bayangan dalam kepalanya, bahawa dia memegang pisau dan anak-anaknya berada di hadapannya dalam keadaan berlumuran darah (obsesi gambaran yang berterusan dan berulang-ulang), maka dia mengambil keputusan untuk membuang kesemua pisau dan menyimpan kesemua objek tajam di dalam stor rumahnya. Setiap pagi, Sarah akan memeriksa rumahnya berulang kali (kompulsif tingkah laku). Sarah juga mengambil keputusan untuk tidak mendekati anak-anaknya kerana takut insiden yang dibayanginya itu akan menjadi kenyataan. 

   c.       Gangguan kehendak

Hakim sering ada keinginan untuk menolak orang jatuh daripada tangga (Obsesi kehendak). Kehendak ini akan selalu hadir dalam dirinya setiap masa terutama apabila dia melihat orang menuruni tangga. Dia tahu perkara tersebut adalah satu perbuatan yang tidak baik bahkan boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain. Disebabkan itu, dia akan menutup matanya apabila melalui kawasan yang bertangga (kompuslif tingkahlaku) dan mengelak untuk menggunakan tangga untuk memastikan perkara sedemikian tidak akan berlaku.

3. Tema dalam OCD

   I. Contoh tema obsesif 

KebersihanPemikiran mengenai kotoran terutama hasil kumuhan, kuman, atau penyebaran penyakit yang berat seperti HIV daripada satu objek atau daripada orang lain melalui sentuhan biasa
Keraguan  Pemikiran mengenai – sesuatu yang membahayakan diri sendiri atau keselamatan orang lain- rasa ragu-ragu pada diri sama ada dia terlupa atau tidak (contoh kunci pintu)
AgamaPemikiran mengenai kesempurnaan dalam ibadah atau sebarang isu yang abstrak seperti pertimbangan dosa dan pahala
MistikPemikiran mengenai tuah baik dan buruk
SeksualPemikiran bahawa dia mungkin homoseksual, atau sebenarnya adalah perempuan, atau kelakuan seks luar tabii sehingga melaporkan dirinya sendiri ke pihak berwajib
Susunan atau kesamaan (symmetry)Pemikiran mengenai susunan objek yang mesti mengikut koding warna atau bentuk objek
Keinginan untuk bercakapPemikiran mengenai kemestian dia untuk bercakap, bertanya atau memberitahu sesuatu

  II. Contoh tema Kompulsif

MemeriksaMemeriksa pintu, kunci atau dapur berkali kali 
MembersihMembersih atau mencuci (mandi/basuh tangan/basuh baju/mencuci tandas) berkali-kali
MengiraMengira berkali-kali sesuatu perkara 
MenyentuhMenyentuh semua benda yang dia lihat
MenyusunMenyusun objek mengikut koding  warna, bentuk objek dan sebagainya

Kebanyakan individu akan mengalami obsesif bersama-sama dengan tindakan atau pemikiran kompulsif, namun terdapat juga segelintir individu yang cuma mengalami pemikiran obsesif tanpa kompulsif dan sebaliknya.

Entrepreneur working with bills Free Photo

4. Apa bentuk rawatan yang perlu saya dapatkan?

 Pertama sekali, anda perlu berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan diagnosis yang betul. Kondisi ini memerlukan rawatan ubat dan juga terapi psikologi.

Terapi psikologi yang diberikan berfokus untuk mengubah bentuk pemikiran, dan juga untuk mendedahkan individu kepada perkara yang ditakutinya itu dan membantu mereka menghadapinya dengan baik.

Rujukan : 

  1.  Sadock, B. (2010). Synopsis of Psychiatry (11th ed., pp. 839-840). Lippincott Williams & Wilkins.
  2. Soal-Jawab (Ep. 2) : Waswas al-qahri (OCD) dan Nasihat Agama. (2020, August 08). Retrieved December 22, 2020, from https://www.youtube.com/watch?v=4BMREvMfnXs

Kongsikan artikel ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on whatsapp
WhatsApp

Leave a Reply