Konflik Identiti Diri : Siapa Aku?

Gambar Blogpost Konflik Identiti Diri : Siapa Aku?

Semasa menjalani peralihan dari zaman kanak-kanak kepada dewasa, setiap remaja akan memikirkan peranan apa yang akan mereka mainkan dalam alam dewasa. Mereka mungkin mula mengalami kekeliruan dan perasaan yang bercampur-campur tentang bagaimana caranya supaya mereka diterima dalam masyarakat.

Siapakah saya?
Apakah kerjaya yang saya mahukan?
Apa yang saya percaya?
Saya akan bergaul dengan siapa?

Soalan-soalan ini dan soalan lain yang seumpamanya pasti terlintas dalam minda remaja yang beralih ke alam dewasa melalui apa yang dikenal pasti oleh ahli teori Erik Erikson sebagai Tahap 5 dalam perkembangan psikososial manusia; Identity versus Role Confusion.

Peringkat ini berlaku antara umur 12 dan 18 tahun. Pada peringkat ini, remaja cuba memahami dan mencipta siapa mereka dengan menguji versi yang berbeza tentang diri mereka dalam pelbagai situasi sosial.

Semasa mereka berusaha untuk membentuk identiti diri, remaja mungkin bereksperimen dengan peranan, aktiviti dan tingkah laku yang berbeza seperti menjaga bayi untuk jiran, menjadi ahli kelab sukan, atau sebagainya. Menurut Erikson, ini penting untuk proses membentuk identiti yang kukuh dan mengembangkan ke mana hala tuju dalam kehidupan.

Pembentukan identiti mula berkembang apabila remaja meneroka kebebasan yang lebih besar, menguji limitasi diri, dan membuat pilihan mereka sendiri tentang kerjaya, nilai, kepercayaan dan matlamat apa yang mereka mahukan.

Identiti (Identity)

Erikson mendefiniskan identiti sebagai sifat-sifat yang terdapat pada seseorang yang sentiasa berkembang sepanjang hayat.

Identiti melibatkan pengalaman, perhubungan, kepercayaan, nilai, dan memori yang membentuk rasa subjektif seseorang terhadap diri mereka. Ini membantu mewujudkan imej diri berterusan yang kekal walaupun aspek-aspek baru diri dibangunkan atau diperkukuh dari semasa ke semasa.

Identiti menyediakan:

Kesamaan diri: Rasa kesinambungan dalam diri dan dalam interaksi dengan orang lain

Keunikan: Kerangka untuk membezakan antara diri dan interaksi dengan orang lain

Perkembangan psikososial: Kesihatan mental dan fizikal untuk remaja

Semasa peringkat identity versus role confusion, konflik tertumpu pada pembangunan identiti peribadi. Remaja yang berjaya melengkapkan peringkat ini akan memiliki rasa keperibadian dan nilai diri yang berkembang dengan baik dan mempunyai identiti sendiri.

Sebaliknya, apabila seorang remaja tidak dapat menguruskan peringkat ini dengan baik, kekeliruan peranan akan berlaku.

Kekeliruan Peranan (Role Confusion)

Dengan kekeliruan peranan, individu mengalami keraguan yang melampau mengenai makna dan tujuan kewujudan mereka, yang membawa kepada rasa kehilangan dan kekeliruan.

Remaja yang tidak dibenarkan atau tidak mendapat peluang untuk meneroka dan menguji identiti yang berbeza mungkin mengalami kekeliruan peranan, yang seterusnya boleh mengakibatkan perkara berikut:

  • Tidak pasti siapa dirinya dan di mana dia akan diterima
  • Bertukar-tukar dari satu pekerjaan atau perhubungan kepada yang lain
  • Rasa kecewa dan keliru tentang di mana tempatnya dalam hidup ini
  • Terpengaruh dengan hal-hal lain

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp