Kenali Beban Emosi, Duka Selepas Kehilangan

Gambar Blogpost Kenali Beban Emosi, Duka Selepas Kehilangan

Bagaimana rasanya kehilangan orang yang engkau sayang?

\”Rasanya seperti aku ingin hidup di hari semalam, membiarkan waktu berhenti di saat itu dan tidak bergerak lagi.\”

Kehilangan seseorang yang anda sayangi boleh menjadi salah satu pengalaman paling menyakitkan yang pernah anda alami.

Sama ada ibu bapa, adik beradik, pasangan, anak, rakan karib atau saudara terdekat, kematian orang yang disayangi boleh berasa amat berat untuk ditanggung. Anda akan mengalami gelombang emosi yang sangat sukar, mulai dari kesedihan yang mendalam, jiwa kekosongan, dan rasa bersalah, atau penyesalan.

Atau anda mungkin marah dengan keadaan kematian orang yang anda sayangi—kemarahan anda tertumpu pada diri sendiri, doktor, orang tersayang yang lain, atau kepada Tuhan. Bukan itu sahaja, kebanyakan daripada kita merasa sukar untuk menerima orang itu benar-benar tiada, atau bergelut untuk menerima kehilangannya.

Jika anda selepas kematian orang tersayang, reaksi itu adalah normal. Kesedihan yang anda rasai menunjukkan bahawa anda sangat menyayanginya. Kesakitan kehilangan ini tidak akan hilang dalam sekelip mata dan anda tidak perlu menyembunyikannya, terutamanya daripada orang yang terdekat dengan anda.

Apakah Duka Kesedihan (Grief)?

Ia merupakan tindak balas yang dimiliki oleh individu dalam menghadapi kematian atau kehilangan. Duka kesedihan ini boleh menjejaskan fizikal, minda, emosi, dan juga semangat anda.

Duka kesedihan ini adalah satu proses yang sangat sukar untuk diramal kerana ia bagaimana seseorang menghadapi kematian atau kehilangan adalah berbeza bagi setiap individu.

Tahap kesedihan anda selalunya bergantung pada keadaan kematian orang yang anda sayangi, berapa banyak masa yang anda luangkan bersama sebelum kehilangannya, hubungan anda dengannya, dan bagimana pengalaman kehilangan anda sebelum ini.

Apakah tanda-tanda duka kesedihan?


Setiap individu mungkin menunjukkan duka kesedihan dalam beberapa cara:

Reaksi fizikal
Melibatkan perkara seperti perubahan dalam selera makan atau tidur, sakit perut, sakit dada, menangis, otot menjadi tegang, masalah untuk bertenang, lemah tenaga, gelisah atau masalah menumpukan perhatian.

Fikiran yang kerap
Melibatkan kenangan gembira tentang orang yang meninggal dunia, kebimbangan atau penyesalan, atau pemikiran tentang bagaimana kehidupan tanpa orang itu.

Emosi yang mendalam
Contohnya, kesedihan, kemarahan, rasa bersalah, putus asa, kelegaan, cinta atau harapan.

Reaksi rohaniah (spiritual)
Melibatkan perkara seperti mencari kekuatan dalam iman, mempersoalkan kepercayaan agama, atau menemui makna dan hubungan rohani.

Anda boleh merasakan semua, atau beberapa perkara ini. Atau mungkin juga anda tidak merasakan sebarang reaksi atau emosi seperti di atas.

Tiada cara yang betul atau salah dalam melalui fasa emosi selepas kehilangan. Ada sebahagian daripada kita yang lebih suka menangani duka kesedihan secara sendiri dengan perlahan-lahan. Manakala sesetengah orang pula mendapatkan bantuan dengan segera dengan menunjukkan emosi mereka dan bercakap dengan orang lain.

Jika anda telah kehilangan seseorang, dan memerlukan sokongan mental dan emosi , terapi bersama ahli psikologi klinikal kami boleh membantu. Anda tidak perlu menanggung kesedihan anda seorang diri. Hubungi kami segera untuk mendapatkan janji temu.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp