Masalah Kesihatan Mental – Petanda Kelemahan Iman?

Gambar Blogpost Masalah Kesihatan Mental – Petanda Kelemahan Iman?

Mutakhir ini, negara kita digemparkan dengan berita kadar kes bunuh diri yang berlaku di negara kita sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan kerajaan sejak Mac 2020. Mengikut laporan, sebanyak 266 kes bunuh diri telah berlaku sejak tempoh permulaan PKP, dan ini hanya melibatkan jumlah kes yang telah dilaporkan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewujudkan ‘Talian Sokongan Psikososial’ sejak 25 Mac lalu dengan kerjasama Mercy Malaysia.

Beberapa agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mewujudkan talian bantuan masing-masing. Menurut beliau, secara keseluruhan sejak 25 Mac hingga hujung Ogos lalu, sebanyak 11,791 panggilan telah diterima oleh talian-talian berkenaan dan setiap pemanggil mempunyai purata tiga isu dengan 50 peratus isu yang dirujuk memerlukan sokongan emosi serta kaunseling seperti stres, risau dan putus harapan.

Sesungguhnya, ujian wabak penyakit COVID-19 sedikit sebanyak telah menyebabkan pelbagai implikasi negatif terhadap masyarakat, baik dari segi kesihatan, sosial mahupun ekonomi. Betapa banyak keluarga yang terhimpit dengan kesukaran mencari nafkah sejak penularan wabak ini. Masalah-masalah yang bertimbunan dilaporkan menjadi antara punca tekanan bertimbun yang seterusnya secara tidak langsung boleh menyumbang kepada kadar bunuh diri yang tinggi.

Hal ini jelas menunjukkan kepentingan aspek kesihatan mental dalam kehidupan seharian kita, dan masyarakat tidak harus memandang enteng masalah ini. Statistik yang menyedihkan ini diharap sedikit sebanyak mampu membuka minda serta mata masyarakat bahawa masalah ini ialah sesuatu yang benar-benar serius.  

Penghidap masalah kesihatan mental sering terasa bagai lemas di lautan perasaannya.

Apakah yang dimaksudkan dengan kesihatan mental?

Sebelum kita ulas isu ini dengan lebih lanjut, wajar kita bersuai kenal dengan maksud kesihatan mental itu sendiri. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, kesihatan mental didefinisikan sebagai “satu keadaan yang sejahtera, dimana seseorang menyedari kemampuannya; berupaya untuk menangani tekanan normal dalam kehidupan; mampu bekerja secara produktif serta boleh menyumbang kepada msayarakat sekeliling”.

Kesihatan mental merupakan satu aspek yang tidak boleh dipisahkan daripada definisi kesihatan. Bahkan, pada tahun 1948, pihak Pertubuhan Kesihatan Dunia telah memberi definisi kesihatan sebagai “satu keadaan yang merangkumi kesihatan secara fizikal, mental dan sosial dan tidak hanya terhad kepada ketiadaan penyakit”.

Menurut KKM menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, didapati sebanyak 2.4% penduduk Malaysia (atau sebanyak separuh juta penduduk) mengalami masalah kemurungan. Jumlah ini belum mengambil kira jumlah pesakit yang menghidap penyakit mental yang lain. Tinjauan yang sama turut melaporkan sebanyak 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental. Angka ini sangat merunsingkan dan langkah proaktif perlu diambil oleh semua pihak bagi memutuskan rangkaian ‘wabak yang tersembunyi’ ini.

Penyakit-penyakit mental boleh dikategorikan secara umum kepada beberapa kategori yang berbeza. Setiap penyakit menunjukkan gejala dan petanda yang berlainan antara satu penyakit dengan yang lain, dan sebuah diagnosis klinikal boleh dibuat oleh seorang doktor berdasarkan kriteria tertentu yang termaktub dalam ‘Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders’ atau berlandaskan ‘International Classification of Diseases’.

Setiap penyakit mental mucul daripada hubungkait serta interaksi yang sangat kompleks antara factor biologi, psikologi, sosial mahupun spiritual. Sebagai contoh, faktor genetik serta ketidakseimbangan hormon akan berinteraksi dengan sebarang trauma psikologi atau sosial lalu menghasilkan kemurungan atau penyakit depresi dalam kalangan individu yang terdedah. Faktor personaliti serta daya ketahanan mental juga boleh menentukan samada seseorang itu terdedah untuk mendapat sebarang penyakit mental atau tidak.

Kesemua penyakit mental mempunyai satu ciri persamaan, dimana kesemuanya akan menjejaskan fungsi kehidupan seharian seseorang.

Stigma masyarakat terhadap pesakit mental akan hanya menambah beban kepada mereka yang sedang berjuang untuk tidak tengelam dalam lautan masalah.

Masalah Kesihatan Mental: Petanda Kelemahan Iman?

Sangat sukar bagi seorang penghidap penyakit mental untuk mengakui dan menerima hakikat bahawa dia sedang sakit dan memerlukan rawatan. Pengakuan sedemikian seakan membawa konotasi negatif dan stigma terhadap dirinya. Pesakit-pesakit yang menghidap penyakit yang melibatkan fizikal seperti kencing manis serta darah tinggi tidak mengalami kesukaran yang sama, kerana parameter-parameter penyakit sedemikian boleh digarap dengan deria pancaindera kita.

Hal ini memudahkan masyarakat umum untuk menerima hakikat kewujudan penyakit-penyakit fizikal, berbeza dengan penyakit mental yang susah digarap konsepnya oleh masyarakat umum. Kekurangan pemahaman dan kesedaran masyarakat umum terhadap penyakit-penyakit mental ini mendorong salah faham yag berlaku, dan seringkali jari ditudingkan terhadap penghidap penyakit ini sebagai punca berlakunya masalah kesihatan mental ini.

Perbuatan menuding jari terhadap ‘kelemahan iman’ serta ‘kelemahan diri’ pesakit tidak akan memberi apa-apa kesan positif dari sudut rawatan penyakit-penyakit ini, bahkan perbuatan sedemikian ibarat menuang minyak ke atas api yang sedang membara. Stigma inilah yang menjadi antara punca kelambatan seseorang penghidap masalah kesihatan mental mendapatkan rawatan yang sepatutnya yang akan menyebabkan penyakit mereka menjadi lebih melarat.

Sebuah kajian yang telah dijalankan dalam kalangan pelajar Universiti Malaysia Pahang serta penduduk Felda Chini, Pekan, Pahang pada bulan Januari 2020 telah menunjukkan tahap pemahaman dan penerimaan masyarakat di kawasan kajian adalah rendah. Hasil kajian ini melaporkan masyarakat mengganggap pesakit mental sebagai lebih lemah dan memerlukan pegawasan yang lebih ketat dan unsur paksaan.

Kajian selanjutnya wajar dijalankan dengan penglibatan saiz sampel kajian yang lebih besar.  Pengalaman penulis sendiri menemu duga pesakit-pesakit mental di hospital dan klinik menemui kebanyakan mereka disisihkan masyarakat sekeliling, terutama keluarga terdekat mereka. Hal ini sangat merunsingkan kerana sokongan yang jitu dan padu sangat diperlukan pesakit dalam proses pemulihan mereka.

Islam dan Kesihatan Mental

Islam tidak sesekali menolak kewujudan aspek psikologi manusia. Dalam sudut pandang Islam, manusia terdiri daripada dua komponen, jasad dan ruh, dan Islam menitikberatkan penjagaan kedua-dua komponen tersebut. Memelihara kesihatan mental juga termasuk dalam Maqasid Syar’iyyah, di bawah payung hifz an-nafs (pemeliharaan nayawa) serta hifz al-aql (pemeliharaan akal). Islam tidak menolak konsep kesihatan mental dan psikologi sebagai sebahagian dari manusia.

Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam telah menyumbang kepada perkembangan bidang psikologi melalui beberapa tokoh yang telah memahat nama mereka pada sejarah peradaban manusia.

Misalnya, Muhammad Ibn Zakariya al-Razi, atau lebih dikenali dengan gelaran al-Razi, merupakan doktor pertama yang membuka wad psikiatri untuk mereka yang mengalami masalah kesihatan mental, kerana beliau percaya yang masalah kesihatan mental perlu dirawat serta dianggap kira sebagai masalah kesihatan, sepertimana masalah kesihatan fizikal yang lain. Beliau telah menulis kitab beliau yang terkenal, al-Hawi, yang mana beliau telah memasukkan beberapa perincian dan penerangan tentang beberapa penyakit mental. Beliau juga telah membuat perincian tentang masalah kemurungan, yang mana beliau mengaitkan puncanya dengan kekurangan aliran darah ke bahagian otak.

Ibnu Sina cuba mengaitkan masalah kemurungan dengan kadar lembapan dalam otak manusia yang dipengaruhi oleh kadar pernafasan yang berubah mengikut perasaan seseorang. Banyak lagi contoh tokoh lain yang boleh dinukilkan sebagai bukti penerimaan serta sumbangan ilmuan Islam dalam perkembangan bidang psikologi.

Hal ini jelas menunjukkan Islam tidak menolak ilmu psikologi, yang mana asalnya juga jika diteliti, berasal daripada cabang ilmu falsafah tentang diri dan jiwa. Bahkan, sebuah doa yang ma’thur dari Sunnah yang termaktub dalam Shahih Bukhari juga berbunyi,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ

Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung padamu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.

Islam sebagai agama yang syumul mengiktiraf kepentingan pengurusan jiwa serta rohani.

Beberapa Petikan dari Quran dan Sunnah yang berkaitan.

Islam tidak menidakkan emosi dan perasaan dalam kehidupan seharian manusia. Dalam Quran misalnya, banyak kisah yang telah diabadikan yang membenarkan peranan emosi dalam kehidupan. Banyak kisah para anbiya’, mursalin serta orang-orang soleh yang diuji dengan kesedihan serta kegelisahan. Antara kisah yang sering dipetik ialah perihal kesedihan Nabi Yaaqub yang telah disebut dalam Surah Yusuf, ayat 84 dan ayat 85, yang bermaksud:

“Dan (bapa mereka – Nabi Yaaqub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.” (Surah Yusuf : 84)

“Mereka berkata: \”Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa\”.” (Surah Yusuf : 85)

Nabi Yaaqub telah berdepan dengan kesedihan yang berpanjangan disebabkan kehilangan anaknya, Nabi Yusuf serta Bunyamin. Quran telah mengiktiraf kewujudan perasaan sedih. Sedangkan seorang Nabi yang semestinya tinggi imannya boleh berdepan kesedihan, siapa kita mahu meyalahkan peranan iman dalam perihal ini.

Ustaz Nouman Ali Khan dalam siri kuliah beliau mengatakan Nabi Yaaqub telah mengalami kesedihan sehingga hilang penglihatan baginda, namun baginda tetap tergolong dalam golongan yang bersabar seperti yang termaktub dalam Quran. Dalam siri kuliah beliau, beliau mengatakan bahawa ayat ini jelas mengatakan penerimaan Islam terhadap kepelbagaian emosi dan membuktikan selagi mana batasan agama tidak dilanggar, seseorang itu dibenarkan mengalami dan mengiktiraf lautan emosi dan masih dikira sebagai golongan yang bersabar. Hal ini menunjukkan Islam mengiktiraf kewujudan perasaan itu bukanlah suatu bukti kelemahan iman, bahkan jauh sekali mengatakan kelemahan iman sebagai punca utama kemunculan sebarang masalah kesihatan mental.

Dalam sepotong hadith, Nabi Muhammad S.A.W. telah menunjukkan satu contoh yang baik dalam menyantuni golongan yang menghidapi masalah kesihatan mental. Penyakit mental perlu disantuni seperti penyakit lain. Ayuh kita membaca bagaimana Nabi SAW menyantuni golongan ini:

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ امْرَأَةً كَانَ فِي عَقْلِهَا شَيْءٌ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي إِلَيْكَ حَاجَةً فَقَالَ يَا أُمَّ فُلَانٍ انْظُرِي أَيَّ السِّكَكِ شِئْتِ حَتَّى أَقْضِيَ لَكِ حَاجَتَكِ فَخَلَا مَعَهَا فِي بَعْضِ الطُّرُقِ حَتَّى فَرَغَتْ مِنْ حَاجَتِهَا

Ertinya: Anas RA menceritakan seorang wanita yang punyai masalah pada otaknya (masalah mental) bertemu Rasulullah SAW dan berkata:

“Wahai Rasulullah, Aku punyai hajat denganmu (ingin bertanya sesuatu).” Baginda SAW menjawab: “Wahai ibu fulan, tengoklah mana-mana bahagian jalan (kawasan) yang sesuai (terpencil daripada orang ramai) yang kamu mahu, supaya Aku boleh (duduk) menunaikan hajatmu (menjawab soalanmu).” Baginda pun duduk bersamanya pada satu bahagian jalan sehingga selesai keperluannya (ditunaikan Nabi SAW).

(Sahih Muslim, 4293 & Sunan al-Tirmidhi, 4182).

Dalam hadith ini, boleh dilihat bagaimana Rasulullah, sebaik-baik manusia, menghormati privasi seorang yang menghidap penyakit mental kerana perihal ini merupakan sesuatu yang sensitive dan tidak sesuai didengari masyarakat umum secara terbuka. Perlu difahami, Nabi bukan duduk berduaan dengan wanita ini sebaliknya memilih bahagian jalan terbuka yang agak jauh daripada orang ramai (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Pendekatan “Bio-Psycho-Socio-Spiritual” dalam Psikiatri.

Walaubagaimanapun, dalam kita menidakkan kenyataan kelemahan iman sebagai punca utama masalah kesihatan mental, jangan pula kita menolak peranan yang dimainkan oleh aspek kerohanian dalam proses rawatan masalah kesihatan mental. Satu pendekatan yang holistik yang merangkumi segenap aspek perlu dilakukan dalam kita menangani masalah ini dengan lebih efektif.

Dalam ilmu psikiatri moden, pendekatan holistik serta menyeluruh akan diguna pakai, yang merangkumi aspek biologi, psikologi serta sosial. Pendekatan ini kemudian dikembangkan dengan integrasi aspek ‘spiritual’ atau kerohanian di dalam kesuluruhan rangka masalah kesihatan mental. Aspek kerohanian di sini bukanlah tertumpu dan terhad kepada unsur keagamaan sahaja, tetapi merangkumi skop kerohanian yang lebih meluas. Sistem kepercayaan, sudut pandang dunia terhadap konsep nilai pada kehidupan, sebarang amalan ritual, serta akar dan tali kebergantungan dan pengharapan seseorang pesakit juga termasuk dalam aspek ini.

Hal ini penting untuk diterokai oleh seseorang pengamal perubatan yang berdepan dengan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, kerana aspek ini boleh menjadi sumber kekuatan seseorang dalam menangani masalah mereka, terutama buat mereka yang mempunyai pegangan atau kepercayaan. Sesetengah pesakit menggunakan solat serta doa sebagai mekanisme mereka dalam menangani tekanan kehidupan. Sesetengah yang lain menggunakan konsep kesucian nyawa sebagai sumber cahaya untuk membantu mereka menerangi detik-detik kegelapan dalam kehidupan mereka.

Dari sudut ini, aspek ini penting untuk membantu mempercepat proses rawatan seseorang disamping pengambilan ubatan untuk masalah kesihatan mereka. Banyak kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji Islam dan Barat yang menunjukkan kesan protektif elemen kerohanian dalam proses rawatan penyakit mental. Kajian oleh Cotton et al. (2006) menunjukkan simptom penyakit kemurungan yang kurang dan risiko membunuh diri yang berkurangan dengan kenaikan kadar kerohanian seseorang pesakit.

Di samping itu, aspek kerohanian juga boleh diterokai dari sudut bagaimana sesuatu penyakit itu memberi kesan kepada ritual atau aspek kerohanian seseorang. Sebagai contoh, mereka yang menghidapi penyakit ‘Obsessive Compulsive Disorder’ yang bertemakan ‘doubt’ atau kesangsian (juga dikenali sebagai ‘was-was’ dalam konteks masyarakat kita) mungkin menghadapi masalah dalam ritual keagamaan mereka kerana was-was mereka mengakibatkan mereka terpaksa mengulang amalan ritual mereka sehingga mengganggu konsentrasi serta penghayatan mereka dalam amalan mereka.

Seseorang yang diuji dengan penyakit depresi dan kemurungan pula mungkin akan menghadapi kesukaran dalam beribadah disebabkan fungsi kehidupan sehariannya yang banyak terjejas disebabkan masalah mereka. Dari sudut ini, penerokaan aspek kerohanian sangat penting bagi membantu mereka yang diuji sedemikian.

Pendekatan ‘bil hikmah’ dalam Penerokaan Sejarah Pesakit.

Kepentingan mendalami aspek kerohanian dalam rawatan penyakit psikiatri telah ditekankan dalam perenggan sebelum ini. Walaubagaimanapun, penerokaan aspek ini mungkin dianggap sesuatu yang sensitif oleh sebahagian pesakit. Seseorang pengamal perubatan harus mengambil kira pelbagai faktor sebelum menerokai aspek ini, dan ini merangkumi kestabilan pesakit. Ketika temuduga, hubungan baik antara pesakit dan perawat, latar belakang serta sudut pandang seseorang pesakit terhadap aspek kerohanian.

Seseorang pengamal perubatan boleh menyelam dengan lebih mendalam ke dalam aspek ini jika dianggap sesuai atau apabila pesakit sendiri yang menimbulkan topik ini. Aspek ini juga boleh diterokai dalam sesi temu duga yang berlainan jika dianggap tidak bersesuaian untuk dilakukan pada temu duga yang pertama. Laras dan gaya bahasa yang digunakan juga perlu diteliti agar tidak dianggap sebagai ‘ceramah agama’ oleh pesakit. Hal ini sangat penting untuk menjaga hubungan baik dan kepercayaan antara pesakit dan pengamal perubatan demi kelangsungan serta keberkesanan proses rawatan.

Penyakit Mental dan Islam: Sebuah Kesimpulan.

Sebagai rumusan, dapatlah disimpulkan bahawa masalah kesihatan mental bukanlah petanda kelemahan iman seseorang kerana punca kejadian penyakit mental melibatkan perhubungan dan interaksi yang sangat kompleks antara pelbagai aspek, baik dari sudut biologi, psikologi, sosial mahupun kerohanian.

Perbuatan menuding jari terhadap ‘kelemahan’ iman seseorang hanyalah satu langkah yang bersifat simplistik serta akan menambah stigma masyarakat terhadap penghidap masalah kesihatan mental lalu mendorong mereka untuk tidak mendapatkan proses rawatan yang sepatutnya. Rawatan penyakit-penyakit ini akan melibatkan preskripsi ubat-ubatan yang tertentu, disamping rawatan psikoterapi dimana aspek kerohanian boleh memainkan peranannya dalam mempercepat keseluruhan proses rawatan.

Setiap pengamal perubatan haruslah memandang setiap pesakit secara holistik serta mendekati setiap pesakit secara individu berdasarkan latar belakang pesakit itu. Islam sebagai sebuah agama yang syumul, menerima hakikat kewujudan masalah kesihatan mental serta kepentingan proses rawatan sebagai ikhtiar kita dalam menangani masalah ini. Wallahu a’lam.

Penulis ialah Muhammad Aqlan b Mohd Zaki, siswazah graduan perubatan UIAM.

Rujukan:

  1. Ali Khan, N. (2020). Feeling sad and depressed Islam I Nouman Ali Khan Islam I Feeling down and depressed [Video]. Retrieved 5 December 2020, from https://www.youtube.com/watch?v=kQ4R6DDyQAM.
  2. Baasher, T.A. (‎2001)‎. Islam and mental health. EMHJ – Eastern Mediterranean Health Journal, 7 (‎3)‎, 372-376, 2001 https://apps.who.int/iris/handle/10665/119027
  3. Cotton, S., Zebracki, K., Rosenthal, S., Tsevat, J., & Drotar, D. (2006). Religion/spirituality and adolescent health outcomes: a review. Journal Of Adolescent Health, 38(4), 472-480. https://doi.org/10.1016/j.jadohealth.2005.10.005
  4. Hadith – The Book of Seeking Refuge with Allah – Sunan an-Nasa\’i – Sunnah.com – Sayings and Teachings of Prophet Muhammad. Sunnah.com. (2020). Retrieved 6 December 2020, from https://sunnah.com/nasai/50/22.
  5. Haque, A. (2004). Psychology from Islamic Perspective: Contributions of Early Muslim Scholars and Challenges to Contemporary Muslim Psychologists on JSTOR. Jstor.org. Retrieved 5 December 2020, from http://www.jstor.org/stable/27512819?origin=JSTOR-pdf.
  6. Institute for Public Health (IKU) Institute for Health Systems Research (IHSR) Institute for Health Behavioural Research (IHBR) National Institutes of Health (NIH). (2020). Key Findings National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019 (pp. 21-22). Shah Alam: Institute for Public Health (IKU) Institute for Health Systems Research (IHSR) Institute for Health Behavioural Research (IHBR) National Institutes of Health (NIH).
  7. Talib, N., & Nor, H. (2020). Persepsi Masyarakat dan Pesakit Terhadap Kesihatan Mental. Spaj.ukm.my. Retrieved 6 December 2020, from http://spaj.ukm.my/jws/index.php/jws/article/view/261.
  8. Utama, L., Linnas, B., BAYAN LINNAS SIRI KE – 216: ISLAM, J., & Razif, M. (2020). BAYAN LINNAS SIRI KE – 216: ISLAM, JOKER DAN STIGMA MASALAH MENTAL. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Retrieved 6 December 2020, from https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3733-bayan-linnas-siri-ke-216-islam-joker-dan-stigma-masalah-mental.
  9. Yilanli, M. (2018). Muhammad ibn Zakariya al-Razi and the First Psychiatric Ward. American Journal Of Psychiatry Residents\’ Journal13(9), 11-11. https://doi.org/10.1176/appi.ajp-rj.2018.130905
  10. Wazir, Rosni. (2020). Tuntutan Kesihatan Mental Menurut Maqasid Al-Sunnah.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp