6 Cara Untuk Membantu dalam Isu Kesihatan Mental

Gambar Blogpost 6 Cara Untuk Membantu Dalam Isu Kesihatan Mental

Overview :

Each and everyone of us has our own problem. Sometimes, we solved it on our own, but there are times, we just need the touch of others. Not really putting high hopes, but it is very soothing to have someone who keeps an eye on us and gives the support we need, aite? In return, if we are to be the first responder, what should we do?

Beberapa bulan lepas tular sebaran di media yang berbentuk “chat” antara seorang pesakit bipolar dan rakannya yang jelas sekali menunjukkan ketidaksopanan dan ketidakprihatinan sahabatnya itu terhadap penyakit bipolar yang dialaminya, bahkan merendah-rendahkan lagi pesakit itu dengan mengungkit kisah-kisah silam yang menyedihkan.

STIGMA YANG MENYAKITKAN

Walaupun kini kita sudah berada di tahun 2021 dan ditambah lagi dengan statistik terbaru yang menunjukkan 3 daripada 10 rakyat Malaysia menghidapi penyakit mental, realiti yang sangat menyedihkan adalah masyarakat kita masih lagi kurang pendedahan dan ilmu mengenainya. Masih berlegar stigma- stigma yang negatif sehingga menyebabkan masyarakat makin menjauh. Contoh stigma negatif tersebut ialah pesakit kesihatan mental dianggap tidak siuman, gila, tidak boleh berdikari atau diharap bahkan ada juga yang mengaitkannya dengan taraf keimanan.

Apabila dilabel sedemikian rupa, tekanan luar ini sebenarnya boleh menjadi ‘triggering factor” yang berulang dan boleh menerukkan lagi keadaan pesakit sehingga menyebabkan mereka lebih rela untuk berjuang seorang diri dan menderita dalam senyap.

Namun, terdapat juga sebahagian daripada masyarakat kita sebenarnya mengelak untuk membicarakan atau mendekati pesakit mental. Ini mungkin berlaku atas beberapa faktor seperti takut dan terpengaruh dengan stigma atau mungkin kerana tidak tahu bagaimana untuk membantu. Ada juga yang takut sekiranya tersalah cakap, keadaan pesakit akan bertambah kritikal.

Perlu difahami bahawa untuk mengaku sebagai seorang pejuang bagi kondisi ini adalah tidak mudah. Oleh itu, andainya mereka mula meluah, kita tidak sepatutnya hanya berdiam diri atau bertindak menjauhkan diri. Inilah masanya untuk kita bantu mereka sedikit demi sedikit.  

APA YANG PATUT SAYA LAKUKAN?

Pertama sekali, cuba untuk berbicara mengenai topik tersebut.

  1. Pastikan anda memilih tempat dan masa yang sesuai untuk membincangkan perkara tersebut.
  2. Pastikan kedua-dua pihak dalam keadaan yang relaks, dan sediakan diri anda dalam mod yang sensitif dengan perubahan nada dan bahasa tubuh badan yang ditunjukkan oleh si pencerita. Pastikan juga anda dalam mod empati dan positif untuk membantu.
  3. Tunjukkan kepada mereka bahawa anda selalu ada untuk mereka dan akan cuba untuk mendengar apabila anda mampu untuk lakukannya.
  4. Akui setiap perasaan yang mereka sedang ceritakan dan tunjukkan. Gunakan ayat-ayat seperti, “Saya faham benda ini susah bagi awak”, “Saya perasan awak nampak lain, kerap sedih”.
  5. Perhatikan tujuan perbualan tersebut, adakah mereka sekadar mahukan perasaannya didengari atau mereka sememangnya mahukan solusi.
  6. Lakukan sedikit pembacaan mengenai kondisi mereka dan jaga emosi dan mental anda supaya tidak terbawa-bawa dan terlalu terkesan (drained)

APA YANG SAYA BOLEH LAKUKAN UNTUK SI DIA?

Cuba untuk berikan beberapa solusi kecil yang dapat membantu ‘meringankan’ situasi dan emosinya sekarang:

  1. Keluar berjalan-jalan atau berjumpa dengan kawan
  2. Amalkan rutin hidup yang berkualiti dengan penjagaan tidur, makan dan kerapkan bersenam
  3. Elakkan pengambilan alkohol atau dadah
  4. Sering mengajak mereka untuk lakukan aktiviti yang mengeluarkan tenaga yang positif bersama seperti bersenam bersama, membeli belah bersama dan sebagainya
  5. Mengingatkan mereka untuk mencari bantuan sekiranya berada dalam kondisi yang kritikal seperti cubaan mencederakan diri
  6. Memberi informasi yang sahih tentang kondisi mereka dan bimbing mereka untuk dapatkan rawatan yang sebaiknya
  7. Menggalakkan mereka untuk berjumpa dengan yang pakar untuk rundingan nasihat

Jangan mudah mengalah andai mereka tidak menunjukkan respons yang sebaiknya.

Perkara ini amat sulit bagi mereka, jadi berikan mereka waktu untuk mereka bina kepercayaan untuk terus meluah.

Semoga anda diberikan kekuatan dan pahala yang setimpal kerana niat baik anda hendak membantu mereka. Moga dipermudahkan!

Penulis ialah Dr Iklil Najah Bt Sallehuddin, siswazah graduan perubatan Universiti Islam Malaysia.

Disunting oleh Dr Muhanna Mansor, siswazah graduan perubatan Universiti Islam Malaysia.

Rujukan :

1. https://www.healthdirect.gov.au/what-not-to-say-mental-health

2. http://www.myhealth.gov.my/penghidap-kemurungan/

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp