Macam mana nak ajar anak saya baca buku?

Gambar Blogpost Macam Mana Nak Ajar Anak Saya Baca Buku?

Ramai yang bertanya pada saya,

“Teacher, anak saya 3 tahun, boleh ke nak start ajar baca buku?”

“Anak saya 5 tahun tapi bila saya bacakan buku dia tak minat.”

Sebenarnya, anak-anak berumur 2 hingga 5 tahun menyukai buku cerita dengan pelbagai cara. Sesetengah anak mungkin akan meminta anda membacakan buku cerita kegemaran mereka dari muka surat awal hingga akhir.

Manakala sesetengah anak mungkin hanya akan belek dan selak-selak muka surat sahaja. Ada anak yang akan cuba ‘membaca’ secara olok-olok ayat yang diingati dari skrip buku cerita, dan ada anak yang akan menunjuk dan melihat gambar yang menarik sahaja.

Semua ini adalah cara yang positif untuk membaca buku cerita dengan anak. Biarkan anak kita ‘explore’ buku cerita tersebut dengan cara yang mereka suka. Aktiviti membaca buku bersama anak atau dikenal sebagai ‘Book Sharing’ ini adalah antara  satu aktiviti yang baik untuk membantu anak yang lambat bercakap.

Menurut kajian, aktiviti ‘Book Sharing’ ini dapat menambahkan kefahaman konsep dan kosa kata (vokab), membantu perkembangan kognitif anak dan juga merapatkan lagi hubungan ibu bapa dan anak.

Jadi, macam mana nak pilih buku yang sesuai untuk ‘interactive book sharing’ ni? Saya tuliskan beberapa tips pemilihan buku di bawah, ibu bapa boleh gunakan ‘guideline’ ini untuk membeli buku cerita anak.

Tips memilih buku yang sesuai untuk anak berusia 2 tahun 6 bulan hingga 5 tahun:

  • Buku yang mempunyai gambar atau grafik yang realistik, jelas, menarik dan berwarna. Buku jenis ini dapat menarik minat anak dan mereka dapat belajar vokab daripada gambar tersebut
  • Buku yang mempunyai jalan cerita atau ayat yang berulang – pengulangan ayat atau jalan cerita ini dapat membolehkan anak untuk membuat ‘prediction’ dan memudahkan anak untuk mengingat jalan cerita tersebut (e.g. The Very Hungry Caterpillar, Brown Bear, Brown Bear, What do you see?)
  • Jalan cerita yang pendek dan ringkas – mempunyai 1-2 baris ayat sahaja dalam satu muka surat
  • Elakkan buku cerita yang terlalu tebal dan mempunyai jalan cerita dan ayat yang terlalu panjang – buku jenis ini dapat menyebabkan anak cepat bosan.

Bagaimana cara nak galakkan anak minat buku cerita?

Kebiasaannya, anak akan teruja atau ‘excited’ apabila ibu bapa membeli barang baru untuknya. Jadi untuk menggalakan anak minat buku cerita, ada masanya kita perlu biarkan anak untuk memilih buku cerita yang dia suka kerana ini akan memupuk minat anak untuk membaca buku.

Contoh ada anak yang minat dengan karakter kartun seperti Upin Upin, My Little Pony dan lain lain, biarkan saja anak memilih mengikut minat mereka. Manakala, ada masa kita pilih buku yang sesuai untuk mengajar anak.

Semasa membaca buku, biarkan anak pegang dan selak muka surat sendiri. Hal ini untuk menggalakan anak mengambil bahagian secara aktif semasa aktiviti ‘book sharing’ ini. Jika anak gemar untuk membelek buku atau mengulang-ulang buku yang sama, ia sebenarnya adalah bagus untuk mengukuhkan lagi kefahaman anak terhadap vokab dan konsep cerita tersebut. Tips seterusnya adalah untuk ‘tunggu’.

Apabila kita selak muka surat yang baru, tunggu respon anak untuk tunjuk atau berkata sesuatu mengenai gambar di buku tersebut. Biarkan anak yang memulakan dulu untuk bercakap tentang sesuatu yang menarik minatnya sebelum kita mula bertanya soalan kepada anak.

Apabila anak dah mula minat dengan buku cerita, ini lah masa yang terbaik untuk memberi stimulasi bahasa kepada anak. Kalau ibu bapa pernah bawa anak ke sesi ‘Speech Therapy’, terapis juga menggunakan buku untuk membantu perkembangan bahasa dan pertuturan anak. Tapi, bagaimana cara yang terbaik untuk gunakan buku cerita dengan anak ni?

Di sini saya kongsikan teknik dan strategi untuk membantu perkembangan bahasa dan pertuturan anak melalui buku cerita;

  • Tak perlu baca setiap ayat di dalam buku – Apabila kita membaca, anak akan cepat bosan dan aktiviti tersebut menjadi kurang interaktif. Ada bezanya apabila kita membaca cerita dan bercerita. Galakkan bercerita dengan menghuraikan atau ‘describe’ apa gambar di dalam buku cerita tersebut.
  • Kreatif menggunakan pelbagai intonasi dan gerak badan ketika bercerita – ini dapat menarik minat anak dan menggalakkan anak berimaginasi tentang cerita tersebut
  • Gunakan pelbagai perkataan – elakkan hanya menamakan objek di dalam buku. Gunakan juga kata kerja (e.g. jatuh, terbang, panjat), kata sifat (e.g. basah, kotor, lapar), emosi (e.g. marah, sedih, penat), kata lokasi (e.g. bawah, tepi, dapur) dan pelbagai kategori perkataan lain. Contoh, ada gambar Bear sedang panjat pokok. Jangan hanya menamakan “bear” “pokok” , tapi gantikan dengan perkataan lain seperti “panjat” “bear panjat pokok” “tingginya pokok” “alamak, nanti bear jatuh”
  • Highlight perkataan yang penting – tekankan pada perkataan yang penting dengan menggunakan intonasi suara yang tinggi, sebutan yang jelas (tidak bercakap laju) dan tunjukkan gambar yang membawa maksud kepada perkataan itu tadi.
  • Kembangkan apa yang anak sebut atau tunjuk – apabila anak memberi reaksi atau cuba bercerita, kita perlu kembangkan lagi apa yang anak sebut. Contohnya, anak sebut “ni katak jatuh”, kita bolehkan beri respon begini “ya, katak jatuh dalam kolam” “Aduh sakitnya”. Apabila kita kembangkan apa yang anak sebut ni, ia dapat memberi idea kepada anak untuk membuat ayat lebih panjang.

Saya faham jika pada peringkat awal atau permulaan ini ibu bapa berasa agak janggal untuk mula menggunakan teknik ini. Tapi lama-kelamaan ia akan menjadi natural dan anak akan lebih minat dengan buku cerita. Gunakan buku cerita untuk menambah kefahaman bahasa, kosa kata dan meningkatkan daya berfikir. Selamat mencuba!

Rujukan: It Takes Two to Talk® – A Practical Guide for Parents of Children with Language Delays (Pepper & Weitzman, 2004)

Sekiranya anak anda mempunyai masalah lewat bercakap atau masalah pertuturan yang lain, boleh hubungi kami utk penilaian, diagnosis dan juga rawatan.

Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Shah Alam menyediakan penilaian untuk diagnosis, terapi pertuturan dan juga carakerja untuk kanak-kanak yang memerlukan. Kami juga menyediakan silibus Early Intervention Programme (EIP). Program ini adalah satu program yang dirangka khusus dan holistik bagi membantu kanak-kanak yang mempunyai kelewatan perkembangan yang memerlukan intervensi awal sebagai persediaan sebelum memasuki alam persekolahan.

Penulis adalah Nur Amirah Bt Mat Ghani, terapis pertuturan tetap Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp