Anak saya lambat bercakap, apa puncanya?

Gambar Blogpost Anak saya lambat bercakap, apa puncanya?

Kanak-kanak mula berkomunikasi sejak mereka bayi lagi di mana pada tempoh 6 bulan yang pertama, mereka mula menghasilkan bunyi dengan nada yang tinggi seperti bunyi ‘aaaa’. Mereka juga akan memberi respon kepada bunyi dengan menggerakkan kepala dan mata mereka ke arah bunyi tersebut lebih-lebih lagi kepada suara ibu bapa mereka.

Terdapat juga kanak-kanak yang masih sukar untuk berkomunikasi sehingga usia 5 tahun berkemungkinan kerana mereka mengalami masalah lewat pertuturan. Lewat pertuturan juga merupakan antara salah satu simptom awal autisme

Oleh itu, adalah penting untuk ibu bapa mendapatkan diagnosis yang tepat daripada pakar seawal yang mungkin bagi mengenal pasti masalah yang sebenar serta rawatan yang bersesuaian.

Perbezaan Masalah Pertuturan dan Masalah Bahasa

Pertuturan merujuk kepada cara kita menghasilkan dan menyebut bunyi serta perkataan. Manakala bahasa pula merujuk kepada penggunaan perkataan dalam menghasilkan sesuatu maklumat yang bermakna. Kanak-kanak yang mempunyai masalah pertuturan tidak dapat menghasilkan bunyi dengan betul atau gagap ketika berbicara.

Bagi mereka yang mempunyai masalah bahasa pula, mereka sukar untuk memahami apa yang dikatakan oleh orang lain serta susah untuk berkongsi pendapat kerana pemahaman bahasa mereka yang kurang berbanding individu lain.   

Faktor Mempengaruhi Masalah Lewat Pertuturan

  • Kehamilan dan kelahiran
    • Ibu yang hamil pada usia terlalu muda atau terlalu berusia
    • Ibu yang mempunyai masalah kesihatan
    • Ibu yang mengambil alkohol 
    • Bayi pramatang
  • Biologikal
    • Masalah kesihatan seperti epilepsi
    • Gangguan perkembangan otak
    • Masalah pendengaran
    • Kecelaruan pertuturan motor
    • Kekurangan nutrisi
    • Masalah genetik
  • Persekitaran
    • Kurang pendedahan terhadap bahasa dan komunikasi dari sekeliling
    • Cara berkomunikasi dalam keluarga
  • Faktor-faktor lain
    • Lewat perkembangan
    • Kesedaran yang kurang terhadap perkembangan anak

Ibu hamil yang tidak menjaga diri serta kandungan menyebabkan berlakunya masalah lewat pertuturan. Pengambilan makanan serta bahan yang tidak sihat seperti alkohol secara berlebihan menyebabkan perkembangan bayi dalam kandungan terencat. Bagi bayi pramatang pula, penggunaan tiub bantuan pernafasan dalam jangka masa yang panjang berkemungkinan menjejaskan perkembangan bahasa dan pertuturan.

Masalah pada lidah dan lelangit kanak-kanak turut menyebabkan mereka mengalami lewat pertuturan kerana berlakunya limitasi pada pergerakan lidah ketika penghasilan bunyi dan pertuturan. Masalah lewat pertuturan juga berlaku kerana terdapat gangguan pada perkembangan otak yang membantu menghasilkan pertuturan. Hal ini menyebabkan kesukaran koordinasi bibir, lidah dan rahang untuk menghasilkan bunyi. 

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam perkembangan anak-anak. Ibu bapa yang kurang berinteraksi bersama anak-anak menyebabkan mereka kurang terdedah kepada ransangan bahasa. Terdapat juga sesetangah ibu bapa yang sering menggunakan perkataan yang tidak sesuai seperti ‘mamam’ yang dimaksudkan makan. Hal ini telah menyebabkan kanak-kanak tidak dapat mempelajari penggunaan bahasa yang betul.

Pendiagnosan Masalah Lewat Pertuturan

Kebiasaannya, masalah lewat pertuturan akan didiagnos oleh ahli patologi pertuturan-bahasa. Kemahiran bahasa dan pertuturan kanak-kanak akan dinilai dalam konteks perkembangan secara keseluruhan. Antara penilaian yang dilakukan adalah apa yang difahami dan dikatakan oleh kanak-kanak, penggunaan komunikasi bukan verbal seperti penggunaan isyarat tangan atau kepala, perkembangan dan kejelasan bunyi dan status oral-motor iaitu penggunaan mulut, lelangit, lidah ketika bertutur, makan dan menelan serta penilaian pendengaran. Rawatan atau terapi yang bersesuaian dengan hasil ujian penilaian akan disyorkan oleh ahli patologi tersebut.

Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Shah Alam menyediakan penilaian untuk diagnosis, terapi pertuturan dan juga carakerja untuk kanak-kanak yang memerlukan. Kami juga menyediakan silibus Early Intervention Programme (EIP). Program ini adalah satu program yang dirangka khusus dan holistik bagi membantu kanak-kanak yang mempunyai kelewatan perkembangan yang memerlukan intervensi awal sebagai persediaan sebelum memasuki alam persekolahan.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp