Mitos –mitos berkaitan Autisme

Gambar Blogpost Mitos –mitos berkaitan Autisme

Kini, perkataan autisme bukanlah sesuatu yang asing dan janggal lagi untuk didengari. Namun, adakah masyarakat benar-benar memahami apa itu autisma? Jom, ketahui salah faham yang selalu dikaitkan dengan Autisme.

a. Betul ke vaksin menyebabkan Autisme?

Berdasarkan ribuan ujikaji yang dilakukan beserta penyelidikan daripada Institute of Medicine dan juga semakan Cochrane, kesemuanya menolak hubungkait antara vaksin dan Autisme.

Kepercayaan ini bermula disebabkan oleh satu kajian yang dijalankan oleh Dr Andrew Wakefield terhadap 12 orang kanak-kanak yang mempunyai masalah usus dan perkembangan kanak-kanak.

Beliau menegaskan bahawa vaksin MMR mampu menyebabkan radang pada usus. Radang atau kerosakan kecil pada usus ini menyebabkan kemasukan protein yang tidak sepatutnya ke dalam saluran darah dan ini antara caranya ianya sampai ke otak dan menyebabkan isu neuropsikiatri pada subjek ujikaji tersebut.

Berdasarkan penemuan ini, Dr. Andrew mengeluarkan satu pernyataan yang amat memberi impak besar kepada perkembangan dunia vaksin, dia menegaskan bahawa hasil penemuan kajiannya mendapati vaksin MMR ini akan menyebabkan gangguan pada perkembangan otak kanak-kanak mengakibatkan mereka menghidapi Autisme.

Namun, ujikaji ini ternyata berat sebelah dan terlalu lemah untuk dijadikan sebagai hujah kerana bilangan individu yang digunakan terlalu sedikit dan pemilihan sampel adalah bersifat selektif yang mana kanak-kanak tersebut mestilah mempunyai masalah gangguan perkembangan otak dan telah divaksin.

Kebobrokan ujikaji ini telah diatasi dengan ribuan ujikaji lain yang lebih relevan dan dapat membuktikan falasinya kajian Dr Andrew ini. Kajian Andrew ini juga bahkan telah ditarik balik kerana ketidaktepatannya.

b. Semua kanak-kanak yang mempunyai Autisme itu genius?

Seperti yang diterangkan dalam artikel sebelum ini, Autisme mempunyai spektrum yang tersendiri di mana, terdapat autism yang berfungsi tinggi (high functioning level) dan ada juga yang berada di ekstrem yang sebelah lagi,yang mana mereka mempunyai masalah IQ. Kefungsian mereka ini boleh dilihat dengan mudah melalui kemandirian mereka dan juga beberapa ujian yang dijalankan oleh pakar atau psikologis.

c. Anak saya ada harapan untuk sembuh?

Sehingga kini masih belum dijumpai sebarang ubat yang dapat menyembuhkan Autisme. Namun, mereka boleh diberi peluang untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya sekiranya diberi intervensi awal. Sekurang-kurangnya, mereka boleh menguruskan diri sendiri andai diajar dengan cara yang betul.

d. Autisme disebabkan oleh didikan saya yang salah?

Ianya bukan disebabkan oleh didikan yang salah. Harus difahami bahawa masalah Autisme ini wujud sejak lahir yang disebabkan oleh kecelaruan pada perkembangan neurologi kanak-kanak. Namun begitu, didikan ibu bapa yang kurang sesuai boleh menjadi pemangkin yang menerukkan lagi keadaan. 

Portrait of questioned good-looking european father sitting at table with bored and upset sons, shrugging with raised palms, being clueless how to raise boys alone Free Photo

e. Boleh ke Autisme ni baru jadi waktu sudah besar?

Secara teorinya, tidak boleh. Namun, kebelakangan ini terdapat banyak kes Autisme yang dikesan agak lewat apabila mereka sudah pun berada di alam persekolahan. Isu sebegini boleh dijelaskan dengan kemungkinan bahawa mereka adalah individu yang mempunyai Autisme yang tidak teruk (mild) dan simptom hanya menjadi ketara apabila mereka terpaksa menggunakan keseluruhan kapasiti diri melebihi had maksimum yang akhirnya gagal untuk memenuhi permintaan kehidupan terutamanya dalam aspek sosial. Sebagai contoh, terdapat seorang kanak kanak yang mempunyai Autisme tetapi tidak pernah dikesan ketika kecil.

Ironinya, pencapaian akademiknya sentiasa memberansangkan malah dia pernah dilantik sebagai pengawas di sekolah.

Nampak seperti kanak-kanak normal bukan? Sebenarnya, jika ianya boleh menjadi hujah yang dia seorang yang rigid dan tidak fleksibel cuma mungkin tidak begitu ketara dan dikaburi dengan imej jawatan tersebut. Namun, apabila memasuki alam universiti yang memerlukan banyak interaksi dengan orang lain atau bekerja dalam kumpulan, individu ini mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan (depresi) kerana dia tidak mampu untuk melakukannya. Apabila dikoreksi kembali kehidupannya, dia disahkan mempunyai Autisme.

Apa yang boleh anda lakukan sekiranya anda merasakan anak anda mungkin menghidapi kondisi ini? Jangan berlengah, bawa anak anda untuk berjumpa dengan pakar bagi tujuan diagnosis.

Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Shah Alam menyediakan penilaian untuk diagnosis, terapi pertuturan dan juga carakerja untuk kanak-kanak yang memerlukan.

Kami juga menyediakan silibus Early Intervention Programme (EIP). Program ini adalah satu program yang dirangka khusus dan holistik bagi membantu kanak-kanak yang mempunyai kelewatan perkembangan yang memerlukan intervensi awal sebagai persediaan sebelum memasuki alam persekolahan. Hubungi kami untuk maklumat lanjut.

Rujukan :

  1. Rao, T. S., & Andrade, C. (2011). The MMR vaccine and autism: Sensation, refutation, retraction, and fraud. Indian journal of psychiatry53(2), 95–96. https://doi.org/10.4103/0019-5545.82529
  2. Gerber, J. S., & Offit, P. A. (2009). Vaccines and autism: a tale of shifting hypotheses. Clinical infectious diseases : an official publication of the Infectious Diseases Society of America48(4), 456–461. https://doi.org/10.1086/596476

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp