Kecelaruan Personaliti Pinggiran (Borderline Personality Disorder)

Gambar Blogpost Kecelaruan Personaliti Pinggiran (Borderline Personality Disorder)

Overview :

Borderline personality disorder is portrayed by the significant characteristics of instability of interpersonal relationships, self-image, and affects, and marked impulsivity in the persona. It has been revised so many times because of conflicting border between neurosis and psychosis and the broad range of active symptoms that overlapped with other possible diagnosis. It has come to our attention, that BPD has become one of the most common clinical problems psychiatrists see in practice nowadays.

“Entah la. Dalam hati ni macam tak ada apa-apa. Kosong.”

“Aku takut la dia tinggalkan aku macam orang-orang sebelum ini”

“Kenapa tak de orang yang faham aku. Lain sangatkah aku ni?”

Ini antara keluhan-keluhan yang mungkin anda pernah dengar. Sesetengah daripada kita mungkin mengendahkan luahan ini dan merasakan ianya satu perkara yang remeh. Macam drama je. Walau bagaimanapun, sebenarnya terdapat insan-insan di luar sana yang sedang bertarung saban hari dengan perkara yang pada pandangan kita, bukanlah satu masalah. Mereka ini mungkin mengalami kecelaruan mental yang dinamakan sebagai Kecelaruan Personaliti Pinggiran atau lebih dikenali dengan istilah Borderline Personality Disorder (BPD).

APA ITU KECELARUAN PERSONALITI PINGGIRAN ?

Masalah Personaliti Pinggiran dapat dirumuskan sebagai ketidakstabilan yang wujud dalam diri seseorang. Ketidakstabilan ini boleh wujud dalam bentuk emosi, hubungan dengan orang lain ataupun identiti diri.

Malang sekali, pesakit yang mempunyai kondisi ini terkadang dipaparkan dalam media ataupun digosipkan dalam bualan masyarakat sebagai remaja yang suka memberontak, baran dan sukar untuk dibuat kawan. Walau bagaimanapun, haruslah difahami bahawa kondisi ini ialah salah satu penyakit kesihatan mental yang tidak dapat dikawal oleh individu yang mengalaminya dan ianya memerlukan rawatan yang rapi daripada pihak professional.

CIRI-CIRI KECELARUAN PERSONALITI PINGGIRAN

  • Emosi yang tidak stabil (mood swings)
  • Susah untuk kawal kemarahan
  • Rasa jiwa ‘kosong’ berpanjangan
  • Perhubungan yang tidak stabil (susah percaya atau terlalu percaya kepada orang lain)
    • Pesakit sangat bergantung kepada orang lain. Namun, ketika tertekan, mereka mungkin melepaskan kemarahan kepada orang yang rapat dan kadang-kadang membawa kepada permusuhan
  • Berusaha untuk mengelak ditinggalkan oleh orang yang rapat
    • Pesakit tidak suka hidup bersendirian dan akan berusaha untuk mencari orang yang boleh dirapati. Mereka sentiasa risau akan ditinggalkan oleh orang yang tersayang dan melakukan pelbagai cara untuk mengelakkan perkara itu berlaku sehinggakan mereka mungkin meninggalkan orang lain terlebih dahulu sebelum ditinggalkan.
  • Melakukan perbuatan mencederakan diri yang berulang.
    • Tujuannya adalah bagi melepaskan kemarahan, meminta pertolongan ataupun sebagai cara mengatasi emosi yang kuat
  • Impulsif, terburu-buru, melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir panjang
  • Paranoid, tidak mempercayakan orang lain atau menunjukkan simptom disosiatif terutamanya ketika stres
  • Konflik identiti diri

RAMAI KE ORANG YANG ADA KECELARUAN PERSONALITI PINGGIRAN ?

Sebanyak 1-2% daripada penduduk dunia mengalami kondisi ini dan data menunjukkan golongan perempuan dua kali lebih ramai menghidapi penyakit ini berbanding lelaki. Dalam satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2018(1) mendapati prevalens kondisi ini mencapai 20% dalam kalangan \’inpatient\’ individu yang mengalami isu psikiatri.

APA PUNCA KECELARUAN PERSONALITI PINGGIRAN?

Sepertimana kecelaruan personaliti yang lain, terdapat 2 aspek yang menyumbang kepada terjadinya kondisi ini:

  • Faktor dalaman: Genetik, hampir 40% pesakit mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit yang sama
  • Faktor luaran/ persekitaran: Peristiwa hidup yang traumatik seperti didera secara fizikal, mental atau seksual, diabaikan atau terpisah daripada ibu bapa ketika kecil, suasana keluarga yang huru-hara, sejarah perhubungan yang tidak stabil dan penuh konflik

Faktor yang disebutkan dapat meningkatkan risiko individu untuk menghidapi Kecelaruan Personaliti Pinggiran. Namun, tidak semestinya orang yang mempunyai faktor risiko tersebut akan mengalami kecelaruan personaliti ini. Ada kemungkinan juga pesakit ini langsung tidak mempunyai faktor risiko itu. Setiap orang mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap ujian dalam hidup.

DIAGNOSIS

Hanya pakar psikiatri atau ahli psikologi klinikal yang dapat mendiagnosa seseorang dengan Kecelaruan Personaliti. Beberapa ujian klinikal akan dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan capaian diagnosis yang lebih tepat. Hal ini merangkumi temu buat yang komprehensif, pemeriksaan fizikal dan ujian darah. Dalam sesetengah kes, doktor mungkin memanggil ahli keluarga atau orang yang terdekat untuk soal jawab bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang pesakit.

Dalam banyak kes, pesakit akan datang mendapatkan rawatan bagi masalah psikiatri yang lain seperti kemurungan dan bukannya untuk simptom masalah personaliti tersebut. Oleh itu, ada kemungkinan diagnosis pesakit berubah setelah penelitian dibuat oleh pakar yang merawat.

APA RAWATAN YANG BOLEH SAYA DAPATKAN?

Tidak seperti penyakit kesihatan mental lain yang menggunakan ubatan sebagai komponen utama dalam mengawal simptom yang dialami, kondisi yang melibatkan kecelaruan personaliti agak rumit untuk dirawat. Rawatan yang paling penting ialah terapi psikologi.

Bagi Kecelaruan Personaliti Pinggiran (BPD), antara terapi yang ditawarkan ialah Dialectical Behavioural Therapy (DBT). Dalam terapi ini, pesakit akan belajar cara kawal emosi, mengendalikan stress dan mengendalikan perhubungan. Pesakit juga akan belajar cara untuk menggantikan perbuatan mencederakan diri dengan coping mechanism yang lebih selamat. Dalam sesetengah kes, terapi lain seperti Cognitive Behavioural Therapy (CBT) dan terapi psikodinamik juga mungkin digunakan.

Preskripsi ubatan dalam masalah personaliti adalah tidak diwajibkan dan tertakluk kepada pakar psikiatri yang merawat pesakit. Kebiasaannya, ubat yang mungkin diberikan dalam kes Kecelaruan Personaliti Pinggiran ialah ubat anti-kemurungan, anti-psikotik atau ubat penenang. Ubatan-ubatan ini bertujuan untuk mengatasi masalah psikiatri yang pesakit alami di samping kecelaruan personaliti.

MACAM MANA NAK KAWAL DIRI DARIPADA CEDERAKAN DIRI SENDIRI (SELF-HARM)?

  • Kenal pasti ‘trigger’ atau perkara yang mencetuskan keinginan untuk mencederakan diri. Fahami kenapa diri membuat keputusan untuk melakukan perkara itu.
  • Terima kenyataan dan fahamkan diri bahawa perbuatan tersebut tidak baik dan tidak bagus untuk anda.
  • Cari solusi alternatif yang lebih sihat dan selamat bagi mengatasi stress atau masalah yang membebankan diri. Pilih cara yang anda suka dan selasa. Antara cadangan solusi ialah menggunakan gelang getah, mengenggam ais, melukis, melakukan senaman dan sebagainya.
  • Belajar untuk berkongsi masalah dengan orang lain. Teruskan mencari orang yang anda boleh percaya.
  • Belajar teknik relaksasi diri
  • Kuatkan aspek spiritual diri. Selari dengan model ‘biopsychosociospiritual’ dalam merawat penyakit kesihatan mental, sudut spiritual merupakan antara komponen penting yang perlu diatasi.

BOLEH KE SAYA SEMBUH?

Proses mengubati kondisi ini atau apa-apa masalah personaliti sememangnya tidak mudah. Rawatan tidaklah bertujuan untuk menukar diri anda kepada orang lain kerana sifat-sifat yang ada itu adalah sebahagian daripada diri anda. Kunci utama dalam mengatasi masalah personaliti BPD ialah memahami punca masalah yang timbul. Koreksi diri dan selidik perkara atau perangai yang menyebabkan konflik berlaku dalam hidup. Setelah itu, mulakan langkah untuk memperbaiki diri sedikit demi sedikit. Biarpun prestasi rawatan anda sederhana sahaja, teruskan berusaha dan konsisten. Jangan menyerah kalah. Akan ada jalan keluar untuk masalah yang anda alami, cuma ianya memerlukan keazaman yang tinggi.

Kenali sudut diri anda yang berpotensi serta sudut yang bermasalah. Kadang-kadang, jalan yang terbaik bukanlah dengan melawan tetapi sebaliknya memahami dan cuba menjinakkan sisi diri anda yang bermasalah. Anda mungkin tidak akan terlepas daripada diagnosis BPD, tetapi anda boleh belajar untuk hidup bersamanya dalam kehidupan yang normal.

SAYA ADA KENALAN YANG ADA BPD. APA YANG PATUT SAYA BUAT?

  • Berikan sokongan moral. Bersabar dan cuba fahami kesusahan yang mereka alami.
  • Berkomunikasi dengan berhikmah. Akui perasaan yang mereka alami dan jangan perkecilkan atau mengejek mereka.
  • Dapatkan ilmu tentang masalah kesihatan mental yang mereka alami.
  • Galakkan pesakit untuk dapatkan rawatan dan konsisten meneruskan rawatan.
  • Waspada terhadap tanda-tanda pesakit dalam bahaya seperti mencederakan diri.
  • Dalam krisis contohnya seperti cubaan bunuh diri, bertenang. Pinjamkan telinga dan hati anda. Seterusnya, ambil tindakan yang sewajarnya bergantung kepada situasi yang berlaku. Dapatkan pertolongan pihak professional.

Mempunyai kenalan atau ahli keluarga yang mempunyai apa-apa masalah kesihatan sekalipun sememangnya sukar, lebih-lebih lagi masalah kecelaruan personaliti. Seseorang boleh tertekan dan sentiasa bimbang berlakunya perbuatan secara tidak sengaja yang mungkin menerukkan lagi simptom dan masalah orang yang disayangi. Usah khawatir. Anda boleh mendapatkan khidmat professional bagi mengatasi kesukaran yang dialami serta mempelajari kaedah dan strategi memahami, menyokong dan menjaga individu yang menghidapi Kecelaruan Personaliti Pinggiran. Kesihatan mental anda juga penting untuk dijaga.

Penulis ialah Dr Muhanna Mansor, siswazah perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Rujukan :

  • Sadock, B. (2010). Synopsis of Psychiatry (11th ed., pp. 750-751). Lippincott Williams & Wilkins.
  • Ellison WD, Rosenstein LK, Morgan TA, Zimmerman M. Community and Clinical Epidemiology of Borderline Personality Disorder. Psychiatr Clin North Am. 2018 Dec;41(4):561-573. doi: 10.1016/j.psc.2018.07.008. Epub 2018 Oct 16. PMID: 30447724.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp