Bunuh Diri : Jalan Terbaik? (Bahagian 1)

Bunuh Diri Jalan Terbaikkah

Puluhan tahun yang lepas, perkataan bunuh diri mungkin jarang dibincangkan dan dianggap tabu oleh sesetengah masyarakat. Kini, perkara ini semakin mendapat perhatian dan tumpuan berkemungkinan dari peningkatan kesedaran terhadap kesihatan mental. Namun, faktor lain yang tidak dapat ditolak walaupun menyedihkan ialah peningkatan trend kes saban tahun.

Menurut Datuk Nor Hisham Mohammad, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM), terdapat peningkatan kes bunuh diri yang ketara di Malaysia iaitu 20 peratus pada tahun 2020 berbanding 2019. 

Anda mungkin antara orang yang sedang mempertimbangkan untuk melakukan perbuatan ini ataupun menjadi saksi perbuatan orang lain. Mari kita mendalami dan memahami topik ini agar sekurang-kurangnya satu nyawa dapat diselamatkan. Satu nyawa yang tiada bandingan nilai dan galang ganti.

Apa itu bunuh diri?

Bunuh diri ialah perbuatan menamatkan riwayat hidup dengan apa cara sekalipun. Ianya merupakan perbuatan yang mempunyai kesan yang kekal kepada mangsa, keluarga, masyarakat dan negara.

Fakta di atas mungkin tidak lagi asing kepada kita tetapi tahukah kita bahawa bunuh diri hanyalah penamat cerita. Ada seribu cerita yang tidak kita ketahui berlaku sebelum daripada itu. Hakikatnya, ramai orang sebelum sampai kepada cubaan mengambil nyawa sendiri sebenarnya pernah atau sedang diasak oleh fikiran-fikiran yang berulang tentang kematian dan bunuh diri.

Kenapa fikiran ini wujud?

Setiap orang akan diuji dengan beberapa cabaran kehidupan yang berbeza dan kemampuan untuk mengurus stress dan tekanan juga berbeza. Ada yang mendapat ketenangan cukup dengan berkongsi masalah dengan teman tetapi ada juga waktu di mana kesusahan yang ditanggung dirasakan terlalu berat dan perit. Ketika itulah, fikiran seperti tidak lagi mahu meneruskan hidup atau mati menamatkan kesakitan yang dirasai datang melewati minda.

Para pengkaji tidak dapat menyatakan satu sebab khusus mengapa seseorang develop keinginan untuk mengakhiri hidup. Terdapat pelbagai faktor yang memainkan peranan.

Faktor Biologi: Tahap serotonin dan 5-hydroxyindoleacetic acid (5-HIAA) yang rendah dalam otak

Faktor Genetik: Seperti penyakit kesihatan mental yang lain, sejarah bunuh diri dalam keluarga meningkatkan risiko untuk seseorang melakukan hal yang sama

Faktor Sosial: Kurang penglibatan atau pengasingan daripada masyarakat.

Silhouette of lonely and sad old man Free Photo

Siapa yang mempunyai risiko?

  • Jantina: Perempuan lebih banyak membuat cubaan manakalak lelaki lebih berisiko untuk berjaya dalam cubaan bunuh diri
  • Umur: Kadar bunuh diri meningkat dengan umur. Kebanyakan mangsa ialah golongan pertengahan umur. Namun, akhir-akhir ini kes dalam kalangan remaja kian meningkat.
  • Bujang, janda atau duda
  • Menganggur atau beberapa pekerjaan tertentu
  • Sejarah cubaan membunuh diri
  • Penyakit kesihatan mental: kemurungan, bipolar, skizofrenia, dementia
  • Penyakit yang serius atau kronik: HIV
  • Penggunaan ubat-ubatan tertentu yang boleh menyebabkan kemurungan: reserpine (Serpasil), corticosteroids, antihypertensives, and some anticancer agents
  • Penyalahgunaan alkohol dan dadah
  • Sejarah penderaaan fizikal atau seksual
  • Perubahan besar berlaku dalam kehidupan: kematian orang tersayang, kehilangan pekerjaan.

Awas dengan tanda-tanda ini!

  • Menjadi agresif dan melakukan perkara yang membahayakan atau tidak berfikir panjang seperti memandu secara berbahaya
  • Merasakan tiada lagi harapan, rasa keseorangan atau penyesalan
  • Perubahan emosi yang mendadak (mood swing)
  • Perubahan rutin, waktu tidur, pemakanan atau personaliti
  • Berlaku peningkatan jumlah alkohol atau dadah yang diambil
  • Menjauhi kawan, keluarga dan orang sekeliling. Gemar menyendiri
  • Ugutan atau komen tentang keinginan untuk menamatkan hidup seperti “menyesal dilahirkan”, “berharap mati lebih cepat”, “keluarga akan lebih baik tanpa aku”
  • Sering menulis, bercakap atau berfikir tentang kematian
  • Memberikan barang yang disayangi untuk dijaga walaupun tiada sebab yang munasabah
  • Mengucapkan selamat tinggal kepada orang tersayang seolah-olah kali terakhir akan berjumpa

Tanda-tanda ini dapat dilihat oleh orang sekeliling atau dirasai oleh orang yang sedang mempertimbangkan untuk menghabiskan hidup. Walau bagaimanapun, tanda-tanda ini tidak spesifik dan mungkin disebabkan perkara lain. Ada juga kemungkinan tiada tanda jelas yang dapat diperhatikan sebelum sesuatu cubaan. Anda boleh gunakan info di atas sebagai panduan dan dapatkan bantuan professional dengan segera sekiranya ada sebarang syak atau keraguan terhadap kesihatan mental diri sendiri atau kenalan.

Untuk Bahagian 2, boleh tekan link di sebelah : https://jiwadamai.com/2021/01/22/bunuh-diri-jalan-terbaik-bahagian-2/

Penulis : Muhanna Mansor

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp