Penyakit Kemurungan Major; Apa puncanya?

Gambar Blogpost Penyakit Kemurungan Major; Apa Puncanya?

Ali (bukan nama sebenar) merupakan sebuah pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi. Beliau merupakan pelajar yang cerdas, mempunyai rekod akademik yang baik dan aktif dalam sukan. Segala-galanya berubah apabila Ali gagal dalam satu subjek pada peperiksaaan semester yang lepas. CGPA Ali merudum dengan ketara. Ali merasa sedih sehinggakan tiada hari yang berlalu tanpa dirinya menangis. Dia merasakan dirinya tidak berguna dan bersalah kerana telah menghampakan ibu bapa dan pensyarah. Keadaan bertambah teruk apabila dia tidak dapat fokus dalam kelas dan aktiviti kokurikulum kerana asyik memikirkan nasib diri yang menyebabkan prestasi akademik dan kehidupan sosial Ali merudum dengan teruk. Ali berasa keseorangan dan sengsara. Akhirnya, Ali nekad untuk meninggalkan dunia ini.

Pernahkah anda merasai sendiri ataupun mempunyai pengalaman menyaksikan orang di sekeliling yang mempunyai pengalaman hidup seperti Ali?

Apa yang dirasakan oleh saudara Ali ialah perkara yang lazim dalam masyarakat terutamanya dalam era kini. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, hampir setengah juta rakyat di Malaysia didapati mengalami simptom tekanan atau depresi.

Apa itu Kemurungan?

Kemurungan ialah penyakit kesihatan mental di mana penghidap penyakit ini akan merasakan kesedihan yang melampau, kehilangan minat untuk melakukan apa-apa aktiviti sehingga menjejaskan fungsi kehidupan seharian. Keadaan yang tertekan ini berkemungkinan untuk mendorong individu untuk menamatkan riwayat hidup.

Kemurungan ialah isu yang perlu diambil perhatian secara serius. Ia bukanlah kesedihan biasa yang boleh dihilangkan dengan hiburan atau dibiarkan begitu sahaja.

Apakah punca kemurungan?

Individu yang murung sentiasa dipalitkan dengan tuduhan tidak kuat jati diri, lemah iman dan sebagainya. Adakah ianya benar? Sepertimana penyakit-penyakit yang wujud di dunia ini, kemurungan tidaklah diundang atau diminta. Kemurungan tercipta melalui beberapa faktor yang saling berkait. Namun, tidak seperti penyakit skizofrenia atau bipolar, kemurungan sememangnya  banyak dipengaruhi oleh faktor persekitaran berbanding faktor biologi atau genetik. 

  • Faktor genetik: Sejarah keluarga yang menghidapi penyakit kesihatan mental meninggikan risiko seseorang untuk mendapat penyakkit yang serupa
  • Faktor biologi: Ketidakseimbangan kimia dalam otak (Neurotransmitter Serotonin dan Neropinephine)
  • Persekitaran: Peristiwa hidup yang tertekan seperti kehilangan orang tersayang, baru melahirkan anak. Kekurangan sokongan orang sekeliling, stress yang melampau
  • Personaliti
  • Ubat-ubatan tertentu
  • Penyakit-penyakit lain : Seperti tiroid, penyakit kronik seperti kanser
  • Penyalahgunaan dadah atau ketagihan arak

Bagaimana mendiagnosis kemurungan?

Sepertimana penyakit kesihatan mental yang lain, beberapa kriteria perlu dipenuhi bagi mendiagnosa kemurungan atau lebih sinonim dikenali oleh kalangan professional sebagai Major Depressive Disorder (MDD). Kriteria-kriteria ini diambil daripada sebuah kitab psikiatri yang dipakai hampir di seluruh dunia bernama Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders yang kini merupakan versi kelima. 

  • Individu mesti mempunyai sekurang-kurangnya 5 simptom daripada simptom-simptom di bawah selama 2 minggu yang mana ia merupakan perubahan daripada kebiasaan individu.
    • Perasaan sedih yang berpanjangan sepanjang hari dan kebanyakan hari
    • Kehilangan minat atau keseronokan yang signifikan dalam melakukan semua atau hampir semua aktiviti pada kebanyakan hari
    • Penurunan berat badan yang ketara walaupun tidak ber’diet’ atau peningkatan berat badan, atau selera makan bertambah atau berkurang hampir setiap hari
    • Tidak boleh tidur (insomnia) atau banyak tidur (hypersomnia) hampir setiap hari
    • Gelisah 
    • Letih, lesu atau kurang tenaga hampir setiap hari
    • Perasaan tidak berguna atau rasa bersalah yang melampau hampir setiap hari
    • Kurang kemampuan untuk berfikir atau fokus atau indecisiveness hampir setiap hari
    • Fikiran yang berulang tentang kematian, bunuh diri tanpa perancangan yang teliti atau cubaan membunuh diri atau perancangan untuk membunuh diri
  • Keadaan ini menganggu atau memberi kesan yang signifikan kepada individu seperti menjejaskan fungsi normal individu seperti makan, tidur, bekerja, bersosial dan sebagainya.
  • Tiada diagnosis penyakit psikiatri atau perubatan yang lebih tepat.

Namun, perlu diingat bahawa kemurungan hanya boleh didiagnosa oleh profesional seperti doktor perubatan atau ahli psikologi. Beberapa penilaian dan ujian perlu dilakukan terlebih dahulu agar diagnosis yang diberikan lebih tepat. 

Penulis : Dr Muhanna Mansor, Graduan MBBS UIAM

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp