Fobia Sosial : Ketakutan Berhadapan dengan Orang Ramai

Gambar Blogpost Fobia Sosial : Ketakutan Berhadapan dengan Orang Ramai

Kecelaruan Fobia Sosial ialah satu kondisi apabila munculnya ketakutan terhadap situasi tertentu yang melibatkan komunikasi dengan orang yang tidak dikenali ataupun situasi yang membuka peluang untuk individu tersebut dinilai atau dihakimi. Perkataan ‘fobia sosial’ ini membezakan kecelaruan ini dengan jenis fobia yang lain yang mana ketakutan itu lebih menjurus kepada objek ataupun situasi yang melibatkan selain daripada tema suasana sosial.

1. Apa itu Fobia Sosial?

Mereka yang mempunyai kondisi ini sebenarnya takut akan memalukan diri sendiri dalam situasi sosial contohnya perjumpaan beramai-ramai, pembentangan atau berjumpa dengan orang yang baru.

Mungkin anda berasa pelik. Semua orang pasti akan ada rasa takut atau rasa kurang yakin untuk beraksi di hadapan orang ramai. Benar, itu adalah normal tetapi perkara yang membuatkan kondisi ini menjadi tidak normal ialah kerana mereka yang mempunyai fobia sosial ini begitu takut sehingga mendapat simptom-simptom keresahan atau panik selama sekurang-kurangnya 6 bulan dan sering mengelak daripada situasi-situasi sedemikian yang akhirnya boleh menjejaskan perkerjaan sehariannya.

2. Adakah saya berisiko untuk mendapat kondisi ini?

Kebanyakan kes ini dijumpai dalam kalangan remaja wanita. Walau bagimanapun, ianya boleh bermula semuda usia 5 tahun. Mereka yang mempunyai sejarah keluarga kondisi ini juga mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mempunyai sejarah penyakit kesihatan mental dalam keluarga. Kondisi ini juga banyak berkait dengan komorbid yang lain seperti kecelaruan cemas yang lain, kecelaruan mood, pengambilan bahan terlarang dan juga Bulimia Nervosa.

Selain itu, terdapat juga teori mengatakan, kemungkinan fobia sosial adalah disebabkan oleh perwatakan dan pembawakan ibu ayah yang kurang memberikan perhatian, lebih banyak penafian (rejecting) dan terlampau melindungi (overprotective).

3. Bagaimana untuk mendiagnosis kondisi ini?

Seperti kondisi penyakit mental yang lain, kriterianya perlu dirujuk kembali seperti apa yang tertera di dalam buku DSM-5.

Kriteria yang diperlukan :

  • Ketakutan yang teramat di dalam satu atau lebih situasi sosial yang menyebabkan individu tersebut terdedah kepada kebarangkalian akan dinilai atau dihakimi secara negatif. Contohnya, ketika berinteraksi dengan orang lain atau membuat persembahan di hadapan orang ramai. (Untuk kanak-kanak, perasaan cemas ini mesti berlaku dalam situasi bersama kawan-kawan seusia dan tidak hanya terhad ketika bersama orang dewasa).
  • Individu tersebut mempunyai ketakutan bahawa kelakuannya nanti atau perasaaan cemas ini akan memalukan dirinya sendiri atau tidak diterima oleh orang lain .
  • Situasi sosial ini hampir setiap masa mencetuskan perasaan takut dan cemas (kanak-kanak mungkin akan memanifestasikan perasaan tersebut dengan cara menangis, mengamuk, diam kaku atau tidak boleh bercakap semasa dalam situasi itu).
  • Situasi ini akan cuba dielakkan atau individu tersebut akan melalui situasi itu dengan perasaan cemas dan ketakutan yang amat sangat.
  • Ketakutan atau perasaan cemas ini tidak setanding dengan perkara atau situasi yang berlaku.
  • Ketakutan, perasaan cemas dan perbuatan mengelak adalah berterusan dan sekurang kurangnya berlaku selama 6 bulan.
  • Ketakutan, perasaan cemas dan mengelak ini menyebabkan stres yang signifikan dan menjejaskan aktiviti kehidupan seharian.
  • Kondisi ini bukan disebabkan oleh faktor kesihatan yang lain

4. Prognosis kondisi ini?

Kebanyakan kes sebelum ini menunjukan bahawa kondisi ini berpotensi menjadi kronik tetapi ada juga yang sembuh. Namun perlu diingatkan, kondisi ini selalunya memberikan kesan yang dahsyat kepada kehidupan seseorang seperti menganggu prestasi akademik dan kerja.

Sila dapatkan bantuan pakar daripada psikiatris atau psikologis untuk rawatan lanjut.


Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp