3 Jenis Masalah Pembelajaran : Apa Bezanya?

Gambar Blogpost Disleksia / Diskalkulia / Disgrafia. Apa bezanya?

Tidak seperti ketidakupayaan yang lain, masalah pembelajaran seringkali kurang jelas dan lebih sukar dikenal pasti. Ini kerana masalah pembelajaran tidak dapat dilihat seperti masalah kecacatan fizikal. Pelajar dengan masalah pembelajaran mungkin tidak menunjukkan tanda-tanda kesukaran melainkan kesukaran dalam pemprosesan kognitif yang tertentu. 

Mengenal pasti dan melakukan intervensi lebih awal adalah kunci kejayaan. Walaubagaimapun, kejayaan bukan bererti masalah pembelajaran tersebut hilang. Sebaliknya  pelajar mengetahui kebolehan dan strategi yang efektif yang dapat membantu mereka mencapai matlamat akademik dan juga matlamat peribadi mereka.

Pelajar yang mengalami masalah pembelajaran kebiasaannya mempunyai tahap kecerdasan yang purata atau lebih baik.

Namun, mereka mengalami kesukaran untuk memproses maklumat yang mempengaruhi pembelajaran. Disebabkan itu, prestasi akademik sering kelihatan lemah berbanding dengan keupayaan intektual. Walau bagaimanapun, kejayaan akademik boleh dicapai dengan intervensi tertentu.

Masalah pembelajaran didefinisikan sebagai masalah dalam satu atau lebih daripada proses asas psikologikal yang melibatkan pemahaman atau penggunaan bahasa sama ada pertuturan atau penulisan, di mana masalah-masalah yang dihadapi mengakibatkan :

  • Kebolehan mendengar yang tidak sempurna
  • Kebolehan berfikir yang tidak sempurna
  • Kebolehan bertutur yang tidak sempurna
  • Kebolehan membaca yang tidak sempurna

Ini TIDAK termasuk mereka yang bermasalah pembelajaran akibat daripada ketidakupayaan penglihatan, pendengaran dan motor, kerencatan akal, gangguan emosi atau kekurangan dalam persekitaran, budaya atau ekonomi.

Bagi kanak-kanak yang mula mendapat pendidikan formal, isu yang perlu diberi perhatian ialah Kecelaruan Pembelajaran Khusus atau kita sering panggil sebagai Disleksia. Namun, Disleksia hanyalah salah satu kategori sahaja. Sebenarnya, terdapat 2 lagi kategori bagi masalah pembelajaran.

Ada sesetengah kanak-kanak yang tidak tergolong di dalam mana-mana kategori di bawah sebaliknya hanya didiagnosa sebagai slow learner. Oleh itu, diagnosis perlu dilakukan oleh psikologis klinikal bagi membolehkan ibu bapa mengetahui status sebenar anak-anak.

DIAGNOSIS

Mengikut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5) (American Psychiatric Association, 2013), terdapat empat kriteria diagnostik utama untuk masalah pembelajaran spesifik. 

  • Kesukaran untuk belajar dan menggunakan kemahiran akademik (sekurang-kurangnya satu daripada simptom berikut), yang berlanjutan sekurang-kurangnya 6 bulan walaupun intervensi tertentu telah dilaksanakan:
  • Bacaan yang tidak tepat atau lambat 
  • Kesukaran memahami maksud bacaan
  • Kesukaran untuk mengeja
  • Kesukaran menulis
  • Kesukaran dalam pengiraan
  • Kesukaran untuk menyelesaikan masalah matematik
  • Keupayaan akademik jauh di bawah jangkaan umur, dan menyebabkan gangguan yang signifikan terhadap prestasi akademik atau kerja, atau aktiviti harian.
  • Kesukaran pembelajaran bermula pada usia sekolah, tetapi mungkin tidak dapat dilihat sehingga tuntutan akademik di sekolah melampaui keupayaan kanak-kanak 
  • Kesukaran pembelajaran bukan disebabkan oleh masalah intelektual, masalah penglihatan atau pendengaran, gangguan mental, masalah psikososial, kekurangan penguasaan bahasa dalam pengajaran akademik, atau pengajaran yang tidak mencukupi.

Diagnosis perlu dilakukan dengan mengambil kira sejarah keluarga, sejarah perubatan, laporan akademik, pemerhatian dan penilaian psikologi.

  • Kod DSM V 315.0 Disleksia
  • Kod DSM V 315.1 Diskalkulia
  • Kod DSM V 315.2 Disgrafia

Kanak-kanak tersebut mestilah mempunyai sekurang-sekurangnya (1) daripada kriteria berikut bagi membolehkan pengkategorian dilakukan, sama ada berada di dalam kumpulan Disleksia, Diskalkulia atau Disgrafia :

  • Ketidakupayaan membaca (bacaan yang tidak tepat, perlahan dan memerlukan penelitian yang tinggi)
  • Ketidakupayaan memahami maksud pernyataan yang dibaca
  • Ketidakupayaan menulis seperti kesalahan tatabahasa, penanda wacana dan sususan ayat
  • Ketidakupayaan memahami konsep angka, dan pengiraan matematik
  • Ketidakupayaan menyelesaikan masalah matematik atau tidak memahami konsep penyelesaian masalah matematik

Disleksia merujuk kepada ketidakupayaan dalam kemahiran membaca seperti ketepatan ejaan, kelancaran pembacaan dan pemahaman ayat. Ianya disebabkan oleh kesukaran mengenal perkataan, suku kata dan proses pengekodan huruf serta bunyi.

Seterusnya, Diskalkulia merujuk kepada kesukaran dalam kemahiran mengira dan mengenal angka. Diskalkulia melibatkan ketidakupayaan memahami fakta matematik, operasi matematik, menyelesaikan masalah matematik dan mengingati fakta matematik.

Berbeza pula dengan Disgrafia. Disgrafia adalah ketidakupayaan dalam membina ayat atau kesukaran dalam penulisan. Individu Disgrafia mengalami kesukaran untuk mengeja, mengenal tatabahasa dan penanda wacana serta kemahiran penulisan yang lain. Selain itu, kesukaran dalam penulisan melibatkan pembinaan ayat dan penyusunan ayat.

MENANGANI MASALAH PEMBELAJARAN KANAK-KANAK

Sebagai ibu bapa…

  • Kenal pasti dan terima masalah
  • Melibatkan diri
  • Bercakap dengan guru-guru 
  • Tunjukkan keprihatinan terhadap aktiviti di sekolah
  • Menggalakkan pembelajaran di rumah
  • Memberi kerja rumah
  • Melibatkan anak dalam perancangan aktiviti
  • Pupuk tabiat ingin belajar dalam diri anak 
  • Galakkan anak menggunakan perpustakaan
  • Pupuk keyakinan diri yang tinggi

STRATEGI MEMBANTU MURID BERMASALAH PEMBELAJARAN

  • Kurangkan beban-kerja 
  • Elak berikan arahan yang banyak serentak
  • Berikan arahan yang jelas dan pandang pelajar ketika memberi arahan
  • Sediakan salinan nota atau nomborkan setiap baris ayat
  • Izinkan menulis karangan dahulu, betulkan ejaan kemudian
  • Membenarkan penggunaan kalkulator
  • Memberi masa tambahan semasa peperiksaan
  • Menggunakan pendekatan pelbagai deria, amali/praktikal, bahan grafik
  • Penilaian yang lebih fleksibel
  • Berikan masa untuk pelajar menjawab jika soalan diberi secara spontan
  • Berikan nasihat dan kata-kata positif

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp