Tingkah Laku Anti-Sosial Dalam Kalangan Kanak-Kanak?

Gambar Blogpost Tingkah Laku Anti-Sosial Dalam Kalangan Kanak-Kanak?

Bagaimana kanak-kanak seawal usia 3 tahun boleh mempunyai ciri-ciri anti sosial? Sebelum saya menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai tingkah laku tersebut atau ciri-cirinya, adalah penting untuk ibu bapa dan guru mengetahui mengenai definisi tingkah laku anti sosial.

Tingkah laku anti sosial didefinisikan sebagai tingkah laku yang ganas terhadap individu lain atau menyebabkan ancaman, bahaya dan kecederaan. Ciri-ciri utama tingkah laku anti sosial yang mungkin para ibu bapa sedia maklum atau mungkin juga sedang dihadapi oleh anak anda, iaitu tindakan membuli, menipu dan manipulasi, mencuri, tidak mendengar arahan, melanggar peraturan-peraturan umum yang ditetapkan oleh ibu bapa, sekolah atau pihak berkuasa dan memukul atau mencederakan rakan. Kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku sebegini juga dilihat mempunyai kecelaruan emosi yang mana tiada/kurang rasa simpati dan empati terhadap individu lain.

Pentingkah penilaian psikologi? Saya ambil contoh kes-kes yang telah dirujuk ke Jiwadamai. Majoriti kes bagi tingkah laku sebegini adalah dalam lingkungan umur pra sekolah yang mana melibatkan tindakan menggigit rakan, memukul tanpa sebab dan mencuri. Terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh dirumuskan daripada situasi ini, namun penilaian daripada Psikologis dapat membantu ibu bapa dan guru dalam mencegah tingkah laku berisiko. Sekiranya tidak dirawat, ciri-ciri tersebut mampu berlanjutan sehingga dewasa dan tahap keterukan akan meningkat seperti terlibat dalam jenayah apabila meningkat usia remaja dan dewasa.

Bagaimana seorang kanak-kanak boleh mempunyai ciri tingkah laku anti sosial? Faktor utama adalah genetik dan pengaruh ibu bapa serta keluarga. Konsep pembelajaran kanak-kanak pada peringkat awal adalah peniruan atau modelling. Justeru, tidak hairanlah sekiranya anak anda membesar dengan ciri-ciri yang anda rasakan ada pada diri anda atau ahli keluarga terdekat. Namun, intervensi awal boleh dilakukan sekiranya para ibu bapa dan guru mengambil langkah awal dengan melakukan penilaian psikologi.

Faktor seterusnya juga melibatkan pengaruh daripada persekitaran, peristiwa trauma yang dialami semasa peringkat awal kanak-kanak ataupun kecederaan otak fizikal akibat kemalangan.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp