Kleptomania : Mencuri Kerana Suka?

Gambar Blogpost Kleptomania : Mencuri Kerana Suka?

Percaya atau tidak, melalui kajian dua per tiga pesakit kleptomania adalah golongan wanita. Kleptomania adalah satu gangguan akibat kegagalan mengawal keinginan untuk mengambil atau mencuri barang yang sebenarnya tidak diperlukan dan tidak berharga. Apabila orang itu melakukan kecurian, tekanan ini akan hilang.

Pesakit kleptomania ini jarang mendapatkan rawatan secara sukarela kerana berasa malu. Pesakit biasanya hadir untuk rawatan atas tuntutan undang-undang atau arahan daripada pihak mahkamah. Tetapi pesakit lelaki lebih cenderung dihantar ke penjara akibat perbuatan mencuri. Pesakit sedar bahawa perbuatan mencuri ini adalah salah, tidak sah dan tidak terkawal. Meskipun ketika mencuri mereka berasa seronok, puas dan lega, mereka akan berasa serba salah. Malahan, menyesali perbuatan mereka atau kemurungan tidak lama selepas mencuri.

Dalam satu kajian melibatkan 22 pesakit kleptomania, tiada seorang pun yang memberitahu doktor tentang kegiatan mencuri mereka. Sebaliknya, mereka mendapatkan rawatan bagi gejala kemurungan atau kebimbangan. Pesakit berprasangka bahawa mereka tidak akan dirawat atau doktor akan memaklumkan kepada pihak polis. Satu kajian telah melaporkan bahawa 64 peratus ke 87 peratus pesakit kleptomania mempunyai sejarah ditangkap.

Tiada faktor khusus bagi gangguan ini. Berdasarkan kajian dan laporan kes terdahulu, beberapa sebab telah dinyatakan. Faktor yang mungkin mengakibatkan gangguan ini adalah penyalahgunaan bahan (dadah dan alkohol), gangguan emosi, gangguan personaliti, kemurungan, kebimbangan dan gangguan pemakanan. Manakala, teori psikoanalitik mengaitkan perbuatan mencuri ini dengan episod trauma semasa kanak-kanak seperti didera atau diabaikan oleh ibu bapa. Malahan, gangguan ini juga dikaitkan dengan isu psikoseksual, kecederaan kepala atau sawan.

Kesan daripada perbuatan mencuri ini mengganggu kehidupan penghidap dari segi sosial atau pekerjaan. Kebanyakan mereka menjadi kurang fokus di rumah atau di tempat kerja. Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai kualiti kehidupan yang amat teruk atau mungkin dipenjara kerana perbuatan mereka. Lebih mengejutkan lagi, ada antaranya berfikiran untuk membunuh diri sebagai jalan mudah bagi menghentikan perbuatan mencuri tanpa kawalan.

KRITERIA KLEPTOMANIA

  • Kegagalan berulang menahan keinginan untuk mencuri objek yang tidak diperlukan atau tiada nilai
  • Berasa tertekan sebelum mencuri
  • Berasa senang, puas atau lega semasa mencuri
  • Kecurian tidak bertujuan untuk menyatakan kemarahan atau dendam dan bukan bertindak balas kepada khayalan atau halusinasi
  • Kecurian tidak disebabkan oleh gangguan kelakuan, episod manik, atau gangguan personaliti antisosial

Cognitive Behavioral Therapy seperti systematic desensitization, terapi aversion dan covert sensitization merupakan terapi yang paling efektif bagi masalah ini. Pengambilan ubat-ubatan seperti paroxetine, fluvoxamine dan fluoxetine juga memberikan kesan positif kepada penghidap. Gejala yang dialami penghidap dapat dikurangkan dengan lebih berkesan melalui kombinasi psikoterapi dan psikofarmakologi.

Pendekatan tanpa tuduhan terhadap individu dengan kleptomania adalah amat penting. Peningkatan kesedaran dan pemeriksaan lanjut oleh psikologis atau pihak yang berkenaan boleh meningkatkan bilangan pesakit yang akan mencari bantuan dan rawatan.

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp