Hoarding Disorder (Kecelaruan Mengumpul Barang)

Gambar Blogpost Hoarding Disorder (Kecelaruan Mengumpul Barang)

Adakah anda sering berasa sukar untuk membuang barang-barang seperti pakaian lama, majalah atau beg plastik terpakai walaupun anda tidak lagi menggunakannya? Anda rasa mungkin akan memerlukannya di masa akan datang dan mengumpul barang-barang lama tersebut sehingga ia menjadi longgokan yang terlalu banyak. Anda mungkin mengalami kondisi Hoarding Disorder.

Hoarding Disorder atau kecelaruan mengumpul objek ini merupakan salah satu kecelaruan yang berkait dengan kecelaruan obsesif-kompulsif (OCD). Kecelaruan mengumpul objek ini adalah kondisi di mana individu tersebut susah untuk membuang atau berpisah dengan objek yang dimiliki walaupun sebenarnya barang tersebut tiada nilai sentimental atau apa-apa maksud khusus dan istimewa dalam hidupnya. Kebiasannya, barang-barang yang dikumpul adalah tidak bernilai atau tidak berguna seperti surat khabar lama, buku-buku lama, nota, majalah, pakaian, kelengkapan dapur yang lama, bekas makanan pakai buang dan banyak lagi.

Kepayahan ini berlaku kerana fahaman individu tersebut, dia beranggapan bahawa ianya perlu untuk disimpan, siapa tahu sekiranya objek tersebut diperlukan di masa hadapan. Ada juga yang menyimpannya kerana takut kehilangan informasi yang berharga, atau kerana nilai estetika dan nilai sentimental yang ada pada barang tersebut.

Hoarding mempunyai beberapa tahap, tahap sederhana ke tahap yang parah. Untuk kes hoarding di tahap yang sederhana, mungkin tidak akan terlalu memberi kesan secara langsung, namun sekiranya pada tahap yang parah, ia akan mengganggu kefungsian hidup seseorang itu.

Kecelaruan ini dilihat boleh menggangu kehidupan seharian kerana objek atau barangan yang dikumpul yang terlalu banyak akan berselerak dan mengambil ruang yang banyak dalam rumah hingga menyebabkan sukar untuk individu bergerak dan membuat kerja di rumah. Malah, barang yang begitu banyak terkumpul juga akan membawa kepada masalah kebersihan dan keselamatan.

SIMPTOM DAN TINGKAH LAKU

  • Sukar untuk membuang barang walaupun tiada nilai penting
  • Berasa bimbang dan tertekan apabila cuba untuk membuang barang kerana persepsi individu tersebut (dia perlu untuk menyimpannya, takut-takut akan diperlukan nanti)
  • Tidak reti menyusun dan menyimpan barang dengan teratur
  • Tidak boleh membuat keputusan apa yang perlu disimpan dan dimana perlu disimpan barang-barang tersebut
  • Pemikiran dan tingkah laku obsesif (melihat semula sampah yang dibuang, risau terbuang barang yang ingin disimpan)

Individu dengan kecelaruan mengumpul barang ini tidak merasakan perkara ini sebagai satu masalah, dan membuatkan rawatan agak sukar untuk diberikan. Namun begitu, rawatan intensif dapat membantu individu dengan kecelaruan ini memahami bagaimana kepercayaan dan tingkah laku mereka ini perlu diubah bagi memastikan mereka mendapatkan kehidupan yang lebih selamat serta bahagia dengan kehidupan mereka. 

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp