Kes A : Pada tahun 2017, dilaporkan di dada akhbar tentang seorang pemuda berusia 25 tahun yang maut akibat menembak dirinya sendiri menggunakan senapang patah. Setelah siasatan terperinci dijalankan, didapati mangsa mengalami gangguan mental; halusinasi.

Kes B : Pada tahun 2014, sepasang suami isteri menemui ajal yang pada asalnya berhasrat untuk menyelesaikan konflik rumah tangga yang mereka alami. Si isteri telah ditikam dan dikelar oleh suaminya manakala suami mangsa turut mengelar lehernya sendiri.

Berdasarkan kedua-dua kes ini, kes A menunjukkan mangsa mengalami halusinasi. Manakala, kes B menunjukkan suami mangsa mengalami delusi. Kedua-dua pelaku mengalami psikosis meskipun mereka dilihat normal dan menjalani kehidupan seharian seperti biasa sehingga mampu bertindak di luar batasan. Individu dengan psikosis ini akan mengalami perubahan tingkah laku, emosi, pemikiran dan kepercayaan.

APAKAH PERBEZAAN HALUSINASI DAN DELUSI (KHAYALAN)?

Halusinasi dan delusi ini kerap kali dinilai sebagai satu keadaan yang sama. Tetapi hakikatnya, memberikan dua pengertian berbeza. Gambaran yang jelas mengenai kedua-duanya dapat dilihat melalui beberapa perbezaan.

Dari segi definisi, halusinasi merujuk kepada individu yang mendengar bisikan suara, melihat, merasai atau terbau sesuatu yang sebenarnya tidak wujud secara realiti. Sebagai contoh, individu dengan halusinasi mungkin mendengar seseorang sedang berbual dengannya dan memberikan respons kepada suara tersebut atau melihat sesuatu imej yang tidak nyata.

Berbeza pula dengan delusi yang merujuk kepada individu percaya kepada sesuatu yang tidak benar dan dikaitkan dengan salah tafsiran persepsi atau pengalaman. Delusi juga mampu mewujudkan kepercayaan paranoid dalam diri individu terbabit. Contohnya, seorang suami percaya bahawa si isteri mempunyai hubungan dengan lelaki lain walaupun si isteri sudah meyakinkan bahawa apa yang difikirkan suaminya adalah salah. Atau situasi yang lainnya adalah, mungkin merasakan seseorang telah meletakkan racun ke dalam makanan atau minuman.

Walaupun kedua-dua dianggap berpunca daripada penyakit psikotik seperti schizophrenia, seseorang mungkin juga mengalami halusinasi disebabkan kerosakan otak, kekurangan tidur, kegiatan neurochemical dalam otak, penyalahgunaan dadah (seperti LSD atau PCP), dan ubat-ubatan. Sebaliknya, delusi kebiasaannya disebabkan oleh gangguan mental , termasuk bipolar disorder, dementia, anorexia nervosa , ataupun obsessive compulsive disorder (OCD). Malahan, delusi merupakan simptom bagi delusional disorder schizoaffective disorder, and schizophrenia.

Individu yang mengalami halusinasi disebabkan oleh dadah yang mengkhayalkan akan kembali kepada realiti selepas kesan dadah tersebut hilang. Tetapi individu dengan delusi akan hanya akan kembali kepada realiti selepas penyakitnya dipulihkan. 

Leave a Reply