Eksperimen Bobo Doll

Gambar Blogpost Eksperimen Bobo Doll

Sejauh manakah rancangan televisyen, filem dan permainan video boleh mempengaruhi tingkah laku agresif dalam kalangan kanak-kanak? Menerusi satu kajian yang terkenal oleh Albert Bandura dan rakan-rakannya, menunjukkan kanak-kanak mempelajari sifat agresif dan tingkah laku ganas menerusi pemerhatian. Kajian yang dimaksudkan adalah ‘Bobo Doll Experiment’.

Menurut teori pembelajaran sosial yang juga diperkenalkan oleh Bandura, pembelajaran terjadi melalui pemerhatian dan hasil interaksi dengan orang lain. Dalam erti kata lain, seseorang individu itu mempelajari sesuatu perkara dengan melihat dan meniru semula perkara tersebut. Hal ini yang cuba dibuktikan oleh Bandura menerusi eksperimen Bobo Doll.

Dalam eksperimen ini, sekumpulan kanak-kanak menjadi peserta di mana mereka dibahagikan kepada kumpulan yang berbeza. Satu kumpulan kanak-kanak dikumpulkan dan melihat seorang dewasa berkelakuan ganas terhadap patung Bobo, manakala satu lagi kumpulan dikumpulkan dan melihat bagaimana orang dewasa itu tidak mengusik patung Bobo dan hanya bermain di dalam bilik tersebut (tiada keganasan ditunjukkan), dan kumpulan terakhir adalah kumpulan kawalan yang tidak ditunjukkan kepada apa-apa model.

Dan didapati, kumpulan kanak-kanak yang didedahkan kepada model agresif akan turut bertindak agresif apabila dibiarkan bersendirian bersama patung Bobo. Dapatan ini menunjukkan tingkah laku ganas dan agresif boleh dipelajari dengan hanya menerusi pemerhatian, proses ini disebut sebagai pembelajaran menerusi pemerhatian.

Pada 1963 pula, Bandura sekali lagi menjalankan kajian yang hampir sama seperti kajiannya yang lepas, namun dengan sedikit perubahan dilakukan. Sekumpulan kanak-kanak ini ditunjukkan dengan paparan video yang menunjukkan seorang dewasa berkelakuan ganas terhadap patung Bobo seperti dalam kajian yang pertama. Bagi eksperimen yang kedua ini, perbezaannya adalah aksi ganas itu bukan dilihat secara berdepan, tetapi menerusi medium video sahaja. Dan dapatan seperti yang dijangka, kumpulan kanak-kanak yang didedahkan kepada tingkah laku ganas ini akan berkelakuan seperti apa yang dilihat berbanding dengan kumpulan kanak-kanak yang tidak didedahkan kepada paparan keganasan.

Hasil kajian daripada kedua-dua eksperimen oleh Bandura ini, menunjukkan sifat agresif dan tingkah laku ganas boleh dipelajari melalui pemerhatian sahaja. Malah, pendedahan kepada keganasan menerusi video juga turut boleh mempengaruhi tingkah laku individu dimana mereka akan cuba untuk mengimitasi apa yang dilihat.

Pemerhatian sahaja mungkin bukan menjadi punca utama kepada masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak. Namun mencegah itu lebih baik daripada merawat. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa mengawasi anak-anak dan memastikan untuk tidak menunjukkan sikap dan tingkah laku yang negatif kepada anak-anak kerana mereka boleh dan akan meniru apa yang mereka pelajari daripada ibu bapa, keluarga dan sekeliling mereka. 

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp