4 GAYA KEIBUBAPAAN

Setiap pasangan suami isteri pasti mempunyai cara yang tersendiri dalam membesarkan anak-anak. Gaya keibubapaan menentukan sebahagian besar jenis persekitaran kanak-kanak dibesarkan. Ada ibu bapa yang tidak lokek memberikan sepenuh perhatian kepada anak-anak, ada pula ibu bapa yang mengabaikan anak mereka.

Seperti yang berlaku pada tahun 2017, terdapat kes di mana ibu bapa kepada kanak-kanak berusia 1 dan 3 tahun mengabaikan anak mereka akibat terlalu taksub mengambil dadah. Lebih menjadi tumpuan pada ketika itu, anak-anak ini tidak diberi susu lebih dari seminggu.

Ahli psikologi telah mengkelaskan gaya keibubapaan kepada empat gaya iaitu autoritatif, authorian, permisif dan pengabaian. Ibu bapa bagi setiap gaya ini memainkan peranan atau ciri-ciri yang berbeza dan kesan kepada anak-anak juga berbeza.

Autoritatif/berwibawa :

Gaya ini merupakan gaya yang digunakan secara meluas kerana ia sangat berkesan dan memberi manfaat untuk anak-anak. Ibu bapa lebih mesra dan responsif terhadap anak-anak. Malahan, ibu bapa menetapkan jangkaan yang tinggi daripada anak-anak, tetapi sangat memberi sokongan sepenuhnya buat mereka.

Bagi anak-anak yang dibesarkan dengan gaya ini, mereka lebih cenderung bersikap mesra, bertenaga, ceria, pencapaian akademik yang tinggi, mempunyai lebih keyakinan diri dan kurang bersikap nakal.

Autoritarian :

Ibu bapa dengan gaya ini tidak responsif terhadap anak-anak. Mereka mempunyai peraturan yang sangat ketat sehingga memberi tekanan buat anak-anak malah meletakkan jangkaan tinggi serta mengharapkan anak-anak taat kepada mereka tanpa kompromi.

Melalui gaya ini, anak-anak akan berasa rendah diri, lemah dalam pergaulan, terlibat dengan masalah jenayah atau mungkin terlibat dengan pengambilan dadah. Mereka juga lemah dalam pencapaian akademik.

Permisif :

Dalam gaya keibubapaan ini, ibu bapa mesra, tetapi kurang bertanggungjawab. Ibu bapa gagal bertegas dan kurang mempunyai peraturan buat anak-anak. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga kurang memantau aktiviti anak-anak serta memanjakan anak-anak.

Anak-anak akan cenderung menjadi impulsif, memberontak, tidak senonoh, dominan, agresif dan rendah keyakinan diri, kurang kawalan diri dan pencapaian.

Pengabaian :

Bagi gaya keibubapaan ini, ibu bapa dingin tidak responsif terhadap anak-anak. Tiada sebarang peraturan yang ditetapkan , tidak melibatkan diri dalam hubungan ibu bapa dan anak. Yang paling jelas daripada ibu bapa gaya ini adalah, mereka bersikap acuh tidak acuh terhadap anak-anak.

Kanak-kanak akan lebih cenderung mempunyai harga diri yang rendah dan keyakinan diri yang sedikit dan lebih teruk lagi, terlibat dengan masalah tingkah laku. Mereka mencari individu lain untuk menjadi contoh atau model selepas diabaikan oleh ibu bapa sendiri.

Semoga penerangan di atas membantu menghuraikan keempat-empat gaya keibubapaan dan memberi cadangan umum tentang bagaimana untuk meningkatkan hubungan ibu bapa dan anak yang bahagia, bertanggungjawab dan produktif. Yang mana satukah anda?

Kongsikan artikel ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on whatsapp
WhatsApp

Leave a Reply